GMI anjur kempen 'vigil' di Kem Tahanan Kamunting, 7 Jun 2008 (malay language)

Kem Tahanan Kemunting di Taiping bakal menerima kunjungan ribuan manusia dalam kempen 'vigil' yang akan diadakan 7 Jun ini, bagi membantah akta ISA yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

Kempen 'vigil' ini merupakan lanjutan kepada kempen-kempen GMI sebelum ini, seperti Letter Signing Marathon, Petition Online dan kempen poskad, yang dilancarkan badan itu sejak April lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata kempen anjuran GMI Perak dengan kerjasama GMI Pusat ini dijadualkan bermula jam 8.00 malam, di hadapan kem, di Taiping, Perak dalam siri kempen membebaskan sekumpulan tahanan yang meringkuk di kem itu selama enam tahun.

"Kem tersebut merupakan simbol atau mercu tanda pembenaran ke atas kezaliman, yang pernah menempatkan beribu-ribu tahanan ISA yang tidak pernah dibicarakan dan dibuktikan bersalah di mahkamah," tegas beliau dalam sidang media, di Dewan Perhimpunan Cina, semalam

Pengarah 'Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA', Norlaila Othman, berkata program ini merupakan kali pertama diadakan di kem sepanjang kempen GMI bagi usaha meningkatkan kesedaran terhadap orang awam.

"GMI juga mengambil kesempatan untuk meraikan rakyat di sebelah utara (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis) untuk bersama-sama menjayakan kempen ini, yang mana mungkin sukar menyertai kempen kita di KL, sebelum ini," kata beliau, yang mensasarkan kehadiran 1000 orang pada kempen 'vigil' tersebut.

Dalam pada itu, GMI dalam usaha memaklumkan kepada pihak polis Taiping mengenai prigram tersebut, bagaimanapun tidak berhasrat memohon permit, berasaskan kepada hak yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai hak berhimpun dan menyuarakan pandangan.

"Lagipun, kita bukan mahu berceramah. Kita hanya buat 'silent protest'. Malah, kita berpengalaman dalam memohon permit polis awal tahun ini di Dataran Merdeka. Mereka seolah-olah mempersendakan kita dengan pelbagai alasan tidak masuk akal," tegas Syed Ibrahim, yang turut percaya kemungkinan program itu menerima halangan pihak polis.

Sehubungan itu, GMI menyeru orang ramai akan turut bersama-sama menyatakan bantahan pada 7 Jun ini, di Kamunting. - mns

No comments: