Jenayah bunuh: Polis jangan jadi kuli UMNO, sibuk 'pantau' program Pakatan Rakyat~malaysiakini

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa simpati dan takziah kepada saudara Muhammad Ali yang kehilangan anggota keluarganya dalam satu kes samun dan bunuh yang berlaku di rumah beliau di Lorong Permai 14, Ampang Tasek, Ampang Jaya baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, isteri beliau Nurhajahan, 39, anaknya, Nurazizah, 7, dan Nasir, 22 ditemui mati bergelimpangan di dalam bilik dan ruang tamu.

Kejadian hanya diketahui setelah beliau pulang ke rumah selepas mengikuti pengajian agama selama tiga hari di masjid, pagi semalam dan paling menyayat hati, anak kecil beliau yang baru berusia setahun, Habizah ditemui sedang meratap hiba di sisi mayat ibunya dalam keadaan tubuh kecilnya yang turut bermandi darah.

Peristiwa ngeri yang dilalui keluarga Myanmar ini hampir serupa dengan kejadian seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ditemui menangis berhampiran mayat ibunya yang dibunuh dengan kesan tikaman di dada dan perut di rumah mereka di Taman Seri Jeram 3, Jalan Bakri, Muar Johor pada Julai tahun lalu.

Mayat Choo Lee Fong, 24, ditemui berlumuran darah dengan tiga kesan tikaman di perut, dua di dada serta beberapa kecederaan di leher berhampiran tangga di rumah kos rendah dua tingkat.

Pemuda PAS Wilayah melahirkan kebimbangan akan nasib dan keselamatan rakyat di negara ini khususnya bagi suri rumah yang tinggal dirumah disaat suami mereka tiada dirumah.

Ketua Penerangannya Herman Samsudeen berkata peristiwa kejam seperti ini tidak seharusnya berlaku berulang kali dan mendesak agar pihak polis meningkatkan rondaan bagi menjaga keselamatan orang awam sama ada diluar rumah atau di dalam rumah mereka.

Dalam hal ini katanya Pemuda PAS Wilayah menyatakan kekesalan terhadap pihak Polis yang sering bangga mengumumkan jumlah anggotanya yang ditugaskan setiap kali ada pilihan raya sedangkan jenayah di sekitar semakin meningkat.

"Polis juga ternyata lebih seronok menghabiskan masa untuk pergi memantau ceramah Pakatan Rakyat terutamanya di Perak pada masa ini.

"Mereka juga lebih suka duduk menyibukkan diri bagi menghalang himpunan rakyat yang sehingga ke hari ini sudah terbukti berjalan secara aman tanpa adanya provokasi dari pihak polis," katanya dalam satu kenyataannya.

Sewajarnya kata Herman usaha menangani jenayah seperti kes samun dan bunuh ini menjadi keutamaan polis bukannya kes-kes politik yang jelas menunjukan ketidakseimbangan layanan polis terhadap Pakatan Rakyat

"Kita menghormati tugas polis dan kami juga berharap polis memahami keutamaan tugas mereka bagi meraih kembali sokongan dan kepercayaan rakyat," katanya

Beliau yakin ramai anggota polis yang berdedikasi terhadap usaha memerangi jenayah dan menyeru kepada seluruh warga rakyat agar sensitif terhadap apa yang berlaku dipersekitaran serta berusaha membantu mengurangkan kes jenayah di dalam kawasan kejiranan mereka.

"Polis dan masyarakat perlu bersatu bagi mencegah jenayah. Pemuda Wilayah juga memberikan sokong terhadap sebarang usaha menangani jenayah dari semasa ke semasa," katanya.

No comments: