Polis Malaysia ganas guna meriam air lerai penyokong Uthayakumar~malaysiakini


Polis melepaskan tembakan meriam air untuk meleraikan kira-kira 200 orang yang berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

Polis melepaskan tembakan meriam air itu kira-kira jam 11.55 pagi selepas mereka tidak mengendahkan tiga arahan polis supaya bersurai.

Sebelum itu, kira-kira 50 orang dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis berhubung layanan terhadap Uthayakumar.

Mereka terdiri daripada lima wakil dari sembilan negeri dan lima anggota keluarga Uthayakumar.

Sehingga jam 12.20 tengahari, polis menahan sembilan orang, termasuk ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Mereka berkumpul hari ini sebagai membantah kerana Uthayakumar - yang menghidap kencing manis - tidak diberi rawatan perubatan sewajarnya.

Beberapa anak jari kaki kiri Uthayakumar mengalami kecederaan pada 31 Januari lalu ketika berada di Kem Tahanan Kamunting.

Pada 20 Februari lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, jika keadaan itu berterusan, 'beratus-ratus" laporan polis akan dibuat terhadap pihak berkuasa hari ini.

malaysiakini
28/02/09

No comments: