Dendam Umno-BN kepada rakyat dan PR tak pernah berakhir

Ada dua bentuk kegeraman dan dendam di hati para pemimpin Umno dan Barisan Nasional ekoran kekalahan mereka dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Geram dan dendam yang pertama, ditujukan terus kepada Pakatan Rakyat yang berjaya mengambilalih lima buah negeri daripada Kerajaan Persekutuan BN.

Manakala geram dan dendam yang kedua, langsung ditujukan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana telah bertindak memilih, mengundi kerajaan Pakatan Rakyat, sekali gus menolak kerajaan BN sebelum ini.

Slogan terbaru Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah slogan sifar walaupun Najib telah menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau telah membuat sesuatu bagi mengatasi masalah rakyat di Pudu Raya.

Tapi masalah sebenar rakyat bukannya terletak pada perhentian bas Pudu Raya. Perkhidmatan bas boleh diadakan dan boleh juga ditiadakan bergantung kepada keperluan semasa.

Maka, dakwaan bahawa penyelesaian ke atas masalah kesesakan di Pudu Raya adalah gambaran kepada keprihatinan Najib ke atas keperitan hidup rakyat masih belum cukup kuat. Lokasi perhentian bas boleh berubah-ubah demi keselesaan rakyat.

Berapa banyak perhentian bas yang diubah demi keselesaan rakyat sebelum ini. Dan, keputusan ini boleh dilaksanakan oleh pihak Majlis Perbandaran, Majlis Daerah atau apa yang kita namakan sebagai Kerajaan Tempatan.

Tidak perlulah sampai Perdana Menteri turun padang menguruskan soal perhentian bas, maka oleh kerana itu, terus dibuat perisytiharan bahawa Najib telah merakyat melalui reformasi di Pudu Raya.

Kita membangkitkan hal ini setelah media melaporkan rasa lapang dada rakyat berhubung keselesaan di Pudu Raya itu.

Jadi bagaimanakah kita mahu mengukur darjah kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak ini? Adakah ia terletak kepada prasarana seperti Pudu Raya, Hentian Duta, Pusat Hentian Kajang dan lain-lain tempat perhentian bas?

Sekadar itu sajakah darjah kualiti pemikiran seorang Perdana Menteri Malaysia?

Sebenarnya, kualiti Najib sebagai PM terletak kepada bagaimana beliau berdepan dengan masalah penempatan rakyat, serta hubungannya dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang menguasai negeri-negeri di bawah tadbiran kerajaan yang baru ini.

Najib dipengaruhi sentimen kepartian di Kg Buah Pala

Ketika berdepan dengan masalah Kampung Buah Pala di Pulau Pinang misalnya Najib mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan negeri perlu selesaikan sendiri masalah pengambilalihan tanah di kampung tersebut tanpa campur tangan orang lain.

Alasan Najib - hal ehwal tanah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tak boleh mencampuri urusan tersebut.

"Mereka perlu menyelesaikan masalah itu sendiri tanpa campur tangan orang lain dan sekarang isu tersebut dilihat sukar untuk diselesaikan," katanya baru-baru ini ketika mengulas permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mahu menulis surat kepadanya untuk meminta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih tanah di kampung itu.

Menurut laporan, kerajaan negeri Pulau Pinang mengakui tidak mampu mengambil alih tanah di kampung itu daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 buah keluarga terus menetap di situ kerana kosnya terlalu tinggi.

Isu itu timbul selepas pemaju projek, NusMetro Venture (P) Sdn. Bhd. (NusMetro) dilaporkan telah menghadapi kerugian hampir RM6 juta sejak setahun lalu apabila terpaksa membayar balik jumlah penuh kepada pembeli yang telah membatalkan pembelian mereka ekoran masalah tersebut.

Najib sebagai Perdana Menteri sepatutnya berlapang dada dan berjiwa besar seperti ayahnya dengan bersikap turun padang untuk membantu kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan politik kepartiannya.

Najib perlu berfikiran jelas dan terbuka bahawa urusan kepartian adalah suatu hal lain. Apabila pemimpin negeri Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat yang mendapat rakyat meminta bantuan, maka hendaklah Najib membuang dendamnya kepada PR dan rakyat Pulau Pinang itu sendiri.

Janganlah gara-gara dendam kepada PR Pulau Pinang, termasuk dendam ke atas rakyat Pulau Pinang maka Najib enggan pula masuk campur dalam hal itu. Apatah lagi, Najib diminta datang untuk menyelesaikan masalah itu secara terhormat pula.

Kalau tidak, slogan Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah lafaz sifar sekali gus mengundang kemarahan rakyat yang lebih berpanjangan.

23 buah keluarga di Kampung Buah Pala itu, mungkin pernah mengundi Umno dan Barisan Nasional sebelum ini, kalau Najib mahu membuka fikirannya terhadap kemungkinan itu (walaupun seelok-eloknya Najib membantu juga tanpa mengira jalur dan faham politik kepartian 23 buah keluarga tersebut).

Tiada alasan jika mahu berbuat kebaikan

Alasan Najib bahawa kerajaan pusat tak boleh mencampuri urusan tersebut oleh kerana hal ehwal tanah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri adalah lemah.

Ini kerana, pimpinan kerajaan negeri menyatakan hasrat bahawa pihak mereka akan mengutus surat, dengan tujuan meminta pertimbangan kerajaan pusat untuk mencampuri urusan tersebut. Dalam dunia ini tiada alasan untuk tidak berbuat baik.

Hanya yang ada sekarang ialah terbitnya kemungkinan-kemungkinan bahawa wujudnya niat mahu melepaskan dendam ke atas PR yang telah mengambilalih pemerintahan Pulau Pinang termasuk berdendam ke atas rakyat di negeri itu sendiri yang telah mengundi PR dan bukan BN.

Sebagai Perdana Menteri, Najib tidak boleh ada sifat berdendam dan bersikap pilih kasih ke atas mana-mana negeri yang berada di bawah perlindungan kerajaan Pakatan Rakyat. Soal 'kerajaan' dan 'parti' janganlah Najib campur adukkan.

Contoh sangka buruk Khir Toyo

Itu kisah hubungan keruh Najib dengan kerajaan PR Negeri Pulau Pinang yang ada sifat ingin membalas dendam ke atas PR dan rakyat Pulau Pinang yang telah memberikan mandat pemerintahan ke atas PR.

Di Selangor, pula kita tersua dengan busuk hati seorang bekas pimpinan Umno - BN di Selangor, iaitu Khir Toyo.

Khir di dalam kenyataannya yang terbaru mengakui bahawa, beliau memang membeli 2 lot tanah bersama banglo di Seksyen 7 pada harga RM3.5 Juta. Laporan akhbar milik pembangkang melaporkan bahawa angka itu bukan RM24 Juta seperti didakwa.

Katanya beliau membeli aset itu melalui pinjaman dari HSBC Bank tiga tahun lepas dengan tempoh bayaran balik selama 30 tahun.

"Saya beli rumah selepas lima tahun jadi Menteri Besar bukan sebaik saja menjadi MB," katanya kepada pemberita ketika mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Ng, sebelum ini mendakwa bahawa kos pembinaan banglo termasuk pemgambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar mencecah kos RM24 juta dan jumlah itu tak mungkin mampu dibiayai Khir melalui pendapatannya selama lapan tahun menjadi Menteri Besar.

Ng mendakwa pendapatan Dr Khir ketika memegang jawatan Menteri Besar dianggar sebanyak RM576,000 setahun iaitu RM4.6 juta dalam tempoh lapan tahun.

Perangkaan ini mungkin sedikit tersasar, tapi hal pembelian tanah lot dan banglo itu memang telah sedia maklum wujud dan tidak boleh disangkal oleh Khir sendiri.

Prasangka Khir Toyo

Sambil menjelaskan kedudukan sebenarnya, Khir berkata, Adun Sekinchan itu membuat tuduhan tersebut lantaran tidak puas hati berhubung tindakan beliau (Khir) yang memberikan tumpuan di kawasan Sekinchan sejak belakangan ini.

"Saya pergi dari rumah ke rumah sejak sebulan lalu dan akan pergi ke setiap rumah di Sekinchan dalam dua tiga tahun ini. Ini yang dia marah sebab dah tak diterima di kawasannya.

"Jadi, dia nak alihkan isu ini supaya orang marahkan saya," kata Khir yang juga pernah ditewaskan oleh Ng pada pilihan raya umum lepas. Khir berkata demikian dengan penuh sangkaan buruk terhadap lawan politiknya.

Atau adakah Khir masih berdendam kepada Pakatan Rakyat yang telah menyebabkan beliau kehilangan jawatannya sebelum ini khasnya kepada Ng yang telah menyebabkan kekalahannya dalam pilihan raya umum yang baru berlalu?

Apa-apa pun, dendam Najib, Khir Toyo dan lain-lain pimpinan BN ke atas PR termasuk rakyat yang telah memberikan mandat terhadap PR itu masih belum berakhir. Lihatlah kemuncak senario yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Harakah
07/07/09

No comments: