Anwar Bidas Cara Kerajaan Malaysia Menangani Isu Sri Lanka

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mebidas sikap tidak endah kerajaan Malaysia dalam menangani isu konflik kaum di Sri Lanka yang membabitkan pembunuhan dan pelarian etnik Tamil.

Anwar menjelaskan bahawa beliau bukan mahu menjuarai atau membela kaum India tetapi isu tersebut berkaitan hak asasi manusia yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia.

Beliau kesal dengan sikap tidak acuh pendirian kerajaan terhadap isu tersebut dan turut di sokong oleh Gobala Krishnan (PKR-Padang Serai) sehingga berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay.

Kata Gobala, jawapan Kohilan di Dewan Rakyat cukup memalukan kaum India dan wajar meletakkan jawatan selaku Timbalan Menteri Luar Negeri

Sebelum itu, Kohilan menjawab Malaysia melihat konflik kaum di Sri Lanka sebagai isu dalaman negara berkenaan, satu pendirian yang sejajar dengan dasar luar negara yang berteraskan kepada prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan integriti wilayah serta tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan P.Ramasamy (DAP-Batu Kawan) bertanya kenapa kerajaan Malaysia enggan mengutuk kerajaan Sri Lanka berhubung masalah pembunuhan dan pelarian etnik Tamil selepas perang yang menyaksikan lebih 300,000 pelarian berada di kemkem tahanan tanpa makanan, pakaian, perubatan dan kemudahan asas yang cukup.

Mengenai dakwaan Anwar Ibrahim (PKR-Permatang pauh) kononnya terdapat pelarian yang berada lebih 20 tahun di pusat perlindungan kerana kerajaan Sri Lanka belum mahu membenarkan mereka pulang ke tempat asal masing-masing, Kohilan berkata kerajaan Sri Lanka telah menyatakan bahawa ia akan hantar kesemua pelarian pulang secara berperingkat-peringkat.

Kohilan turut membangkitkan kemarahan Anwar apabila berkata kenyataan Anwar berbeza ketika beliau berada di Colombo dan di Malysia berhubung isu tersebut.

Anwar bingkas bangun, meminta beliau menarik balik kenyataan itu dan membuktikan mana kenyataan yang berbeza yang didakwa Kohilan.

“Tunjukkan bukti. Kenyataan saya ada di akhbar muka depan,” katanya.

Manakala di lobi Parlimen kira-kira jam 12.00 tengah hari, Gobala bersama Ramasamy menggesa supaya Kohilan meletakkan jawatan atas sikap beliau dan jawapan yang mengecewakan sebilangan besar penduduk India berhubung isu tersebut.

Harakah
23/11/09

No comments: