Kerakusan dan politik perkauman Awang Selamat dan Utusan Malaysia

Tulisan Awang dalam ruangan ini bertajuk Malaysia menuju republik, minggu lalu mengundang reaksi balas daripada Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran.

Beliau membuat laporan polis terhadap Awang dengan mendakwa tulisan tersebut berbau fitnah, tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Awang tidak kisah. Sesiapa sahaja boleh berbuat demikian atas nama demokrasi.

Jika beliau mahu membuat 100 laporan polis sekalipun, tiada hal. Awang sedikitpun tidak gundah malah puas hati kerana mesej sudah sampai.

Selagi pemimpin DAP mengelirukan rakyat dengan membuat fitnah terhadap konsep ketuanan Melayu kononnya menjadikan kaum lain sebagai hamba, Awang tidak akan berdiam.

Begitu juga dengan tindakan DAP mempersoalkan pembinaan banyak masjid. Siapa sebenarnya yang mahu mencetuskan ketegangan kaum kalau bukan parti itu. Cadangan DAP untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua, turut mempunyai muslihat untuk menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Tulisan dalam ruangan ini minggu lalu menyanggah ketiga-tiga isu itu, yang boleh dilihat sebagai sebahagian usaha untuk menulis semula Perlembagaan.

Rumusan Awang dan banyak pihak lagi sebelum ini bahawa tindak-tanduk tersebut adalah ke arah menjadikan Malaysia negara republik.

Apa yang dilakukan oleh parti itu sekarang ternyata mahu memercikkan ekstremisme, yang tidak boleh sama sekali dibenarkan.

Pendirian Awang sejak dahulu lagi adalah mempertahankan Perlembagaan dan menolak ekstremisme termasuk daripada kalangan orang Melayu seperti Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Al-Arqam dan Al-Maunah. Kelompok aktivis politik Islam yang melampau juga tidak sunyi daripada kritikan Awang. Gerakan pelampau dalam apa sahaja bentuk termasuk politik adalah sama bahaya dengan pelampau bersenjata seperti Parti Komunis Malaya. Jadi apa istimewanya DAP untuk kita akur dengan agenda mereka, yang akibatnya jauh lebih memudaratkan negara.

Maka apabila Lim Guan Eng menuduh Utusan Malaysia sebagai penjahat, Awang hanya senyum. Apakah kerana Utusan tidak mengikut aspirasi parti itu lalu dilabel macam-macam? Apakah kerana Utusan masih menjadi perisai mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam atas nama Perlembagaan maka Utusan mahu dibunuh, yang proses itu sedang dilakukan oleh DAP dan PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anehnya, media tertentu termasuk akhbar berbahasa ibunda yang ghairah memainkan sentimen rasis mengikut kepentingan kaum mereka, tidak pula dituduh penjahat. Sedangkan Utusan yang hanya menyanggah kenyataan berbau hasutan dan keterlaluan pemimpin DAP — bukan memulakannya — diserang habis-habisan.

Rakyat boleh menilai siapa sebenarnya penjahat. Guan Eng boleh memperdaya sesetengah kalangan tetapi masih ramai terutama Awang memang tidak percayakan beliau. Kalau Guan Eng pakai kostum lengkap seorang badut sekalipun, Awang tahu muslihat sebenarnya adalah untuk merungkai asas kenegaraan kita mengikut gagasan Malaysian-Malaysia.

Jadi untuk apa tunduk kepada pihak yang sesungguhnya menjadi paksi kejahatan. Sedarkah Guan Eng bahawa beliau juga dilihat oleh banyak pihak sebagai musuh dalam selimut yang sedang menggerakkan “pengkhianatan” di negara ini? Cerminlah diri sendiri.

Mingguan Malaysia
20/12/09

No comments: