KUALA LUMPUR, 12 Feb – Pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik mewakili masyarakat India terus menggesa Putrajaya agar menarik balik penggunaan novel Interlok walaupun Kabinet memutuskan ia akan terus digunakan dengan dibuat beberapa pindaan.
Pendirian tegas ini dicapai pada satu pertemuan dua jam yang diadakan di sini hari ini.
Akhir bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.
Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata, pertemuan petang ini memutuskan bahawa novel tersebut sama sekali tidak sesuai untuk digunakan sebagai teks sastera sekolah.
“Hasil pertemuan hari ini kami akan menyerahkan memorandum 17 halaman kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri pada Rabu depan... menekankan bahawa Interlok tidak sesuai bagi pelajar sekolah, dan mahu ia digantikan dengan novel lain yang sesuai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
“Sebenarnya, penggunaan novel Interlok akan memudaratkan lagi keadaan, bukannya menyemai semangat perpaduan di kalangan pelbagai kaum sebagaimana didakwa sesetengah pihak,” kata beliau.
Pertemuan itu dihadiri sekitar 60 pemimpin mewakil parti-parti politik MIC, DAP, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan PKR.
“Kami mendapati novel ini tidak memenuhi enam kriteria yang telah pun ditentukan oleh jabatan sastera, jadi bagaimana ia dipilih sebagai novel yang sesuai untuk sekolah, kami pun hairan,” kata beliau lagi.
Malah kata beliau, ini bukan kali pertama novel yang pernah memenangi hadiah sastera ditarik balik daripada digunakan di sekolah dan pusat pengajian tinggi.
“Jadi kami merasakan tiada masalah jika ditarik balik daripada digunakan di sekolah,” katanya lagi.
Thasleem juga berkata, novel Interlok edisi pelajar juga telah diubahsuai berbanding kandungan asal yang ada di pasaran.
“Suntingan pada edisi pelajar telah mengeluarkan bahagian-bahagian yang boleh menyinggung orang Melayu, tetapi bahagian yang menyinggung orang India tertinggal, malah ada juga elemen yang boleh memupuk perpaduan kaum dikeluarkan.
“Misalnya, ada ayat bahawa masjid dan kuil ada bersebelahan, tetapi perkara sebegini yang baik untuk menyemai kesedaran di kalangan pelajar telah dikeluarkan. Pada keseluruhannya, kami merasakan novel ini tidak sesuai untuk digunakan sebagai teks sastera,” kata beliau Thasleem.
Dalam satu kenyataan pada 27 Januari lalu, Muhyiddin berkata, novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.
Bagaimanapun keputusan itu tidak dipersetujui oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang mahu Interlok dikekalkan tanpa membuat sebarang pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.
Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Muhyiddin berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” kata Muhyiddin itu.
Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Panel bebas untuk mengkaji pindaan pada Interlok akan mengadakan pertemuan pertama mereka Rabu ini.
Rabu lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, panel itu akan mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam masa terdekat.
“Panel bebas itu dianggotai lapan orang terdiri daripada pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan, wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India,” katanya.

























1 comments:
Race without identity no language,no alphabet,culture mainly borrowed from Indians trying to label others.Hahaha uncivilized yet ungrateful moron.Name one good element that belong to you people that others practise? Every damn thing belongs to someone else,so shut the fuck up and learn to be grateful for life what we have taught your race! abdullah hussain...
Post a Comment