Siapa yang jadi kuda tunggangan politik Interlok?

Permas dan Mantap kaitkan bantahan terhadap Interlok sebagai 'usaha gadai maruah pribumi'.
Kontroversi berkenaan novel Interlok kini berterusan dengan kemasukan watak badan bukan kerajaan (NGO) baru seperti Majlis Penasihat Ayahanda Wilayah Persekutuan (Mantap) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).

Lantas persoalan yang timbul; dari mana datangnya NGO baru seperti cendawan selepas hujan.

Kedua-dua NGO ini dilaporkan menyelar sikap sikap mereka yang mempunyai kepentingan politik masih lagi mempermainkan isu yang sensitif ini dan cuba menangguk di air keruh, amat tidak senangi.

“Malahan sikap sebahagian daripada ahli parti komponen BN yang bersekongkol dalam mensensasikan isu ini juga amat biadap dan terpesong dari semangat keharmonian yang dilaungkan oleh kerajaan,” petik kenyataan itu.

Sehubungan itu, NGO Melayu turut mendesak kerajaan agar bertegas dan tidak mempedulikan tuntutan tersebut.

“Ingat! Pihak kami tidak sekali-kali akan membiarkan cacing naik ke mata dan keharmonian yang terbina sekian lama terkubur disebabkan kerakusan oportunis sebegini.

“Tekad kami, maruah bangsa perlu dipertahankan. Walau bergolok bergadai akan tetap kami harungi. Maruah pribumi wajib didaulatkan dan keharmonian negara mesti dikekalkan,” Permas dan Mantap dipetik berkata dalam kenyataan mereka.

Jawapan kepada Permas dan Mantap

Sebagai penulis yang mengikuti kontroversi sejak hari pertama, saya tidak dapat melihat motif politik pihak yang menentang penggunaan Interlok edisi murid.

Sesi taklimat berkenaan pindaan anjuran MIC turut dihadiri wakil daripada PKR dan DAP disamping perwakilan Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat) yang diketuai Dato’ Haji Thasleem Mohamed Ibrahim.

Apakah motif politik yang digembar-gemburkan walhal hadirin dari pelbagai parti politik?

Permas dan Mantap nampaknya kurang senang dengan pendirian MIC yang dilihat sebagai bersekongkol.

Ia jelas menunjukkan bahawa Permas dan Mantap mempunyai pemahaman cetek mengenai politik perkongsian komponen parti Barisan Nasional (BN).

Setiap parti komponen menjaga kepentingan kaum mereka di dalam kerangka kerja BN.

Justeru itu, usaha MIC adalah selaras dengan memastikan undi masyarakat India kekal sebagai deposit tetap Umno dan BN.

Ia bukan biadap dan jauh sekali daripada menjejaskan keharmonian. Keharmonian terjejas apabila pelajar Melayu dan India misalnya, bergaduh ekoran pendekatan dan perkataan yang dipelajari dari Interlok edisi murid.

Permas dan Mantap berpandangan bahawa maruah bangsa dan pribumi akan tergadai sekiranya kerajaan akur kepada permintaan untuk menggugurkan novel Interlok.

Di dalam cerita 1: keluarga Seman, terdapat adegan di mana tok bomoh menggunakan tengkorak manusia sebagai medium perubatan.

Tidakkah ini menunjukkan kegoyahan akidah masyarakat Melayu walaupun telah menerima Islam?

Di manakah maruah bangsa dalam isu ini? Bukankah identiti Islam lebih penting daripada identiti Melayu?

Malah Perlembagaan Persekutuan mendefinasikan orang Melayu sebagai Islam. Maruah bangsa pribumi akan lebih terserlah apabila lebih banyak pengetahuan dan kesatuan rakyat Malaysia diperkukuhkan melalui penulisan sastera yang mengajak pembaca berfikir secara kreatif dan kritikal.

No comments: