Raja Petra Kamarudin & Haris Ibrahim Mahu Menyingkir PKR Dan Pakatan !


Apakah sebenarnya yang hendak dibuktikan oleh bloggers Raja Petra Kamarudin dan Haris Ibrahim? Inilah yang patut ditanya oleh semua bloggers pro-Pakatan sekarang. Kearah mana mereka sedang membawa penyokong Pakatan dialam siber?

Raja Petra dan Haris Ibrahim (Peoples Parliament) sebenarnya sedang berusaha keras untuk mengikiskan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Padahal, disuatu masa dulu merekalah diantara yang memimpin reformasi melalui alam siber dan Pakatan mendapat kemenangan besar pada PRU ke12 pada tahun 2008. Tetapi, kini orang-orang yang sama juga yang sedang berusaha keras supaya Pakatan Rakyat akan tersungkor sebelum sampai ke Putrajaya!

Apakah mereka rasa dengan berita-berita separuh masak yang mereka muatkan dalam blog mereka akan memberi kesan positif kearah Pakatan ke Putrajaya. Setiap hari cerita-cerita yang menghentam dan memperlekehkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang disiarkan dalam blog-blog mereka hanya akan melemahkan pejuang reformasi dan orang awam akan hilang keyakinan terhadap Pakatan.

Blog-blog mereka adalah popular dikalangan rakyat yang melayari internet dan cerita-cerita negatif mereka terhadap pembangkang akan mempengaruhi pengunjung keblog mereka. Saya percaya- kedua-dua mereka memahami hakikat ini, bermakna, mereka memang sengaja hendak melemahkan PKR dan Pakatan Rakyat. Kalau begitu, apakah Pakatan masih ada peluang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari BN?

Jadi, apakah agenda mereka sebenarnya. Ingatkah anda tentang ‘the third force”? Siapakah mereka dibelakang ‘the third force’? Setelah cerita’The third force’ muncul, nada Raja Petra dan Haris Ibrahim mula berubah. Mereka mula mencanangkan bahawa Pakatan bukan lagi alternatif yang baik kepada Umno/BN. Ada pula cadangan Raja Petra mengetuai ‘third force’ ini. Kini, apabila Pakatan Rakyat sudah bersedia menjadi kerajaan alternatif bagi menggantikan BN, apakah kita perlu kepada ‘the third force’ ini? Apa kata kalau kita ubah soalan ini kepada, ‘apakah kita perlu kepada Pakatan Rakyat, sekiranya sudah ada ‘third force’ ini?’ Mungkin inilah yang hendak dimaksudkan oleh kedua bloggers ini.

Zaid Ibrahim yang kaya raya dikatakan diantara yang sedang menaja blog Raja Petra. Tapi, Zaid Ibrahim juga dilihat sebagai ‘ Trojan Horse’ dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Sejak beberapa bulan yang lepas, Raja Petra mula mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mula membayangkan bahawa Anwar tidak lagi layak berada dalam PKR dan Pakatan. Zaid Ibrahim juga berpendapat sedemikian. Haris Ibrahim yang sedang menelanjangkan kelemahan PKR melalui pendedahan salahlaku dalam pemilihan PKR juga sedang membayangkan kepada rakyat tentang kelemahan Anwar.

Tetapi, peliknya, ini jugalah yang sedang diutarakan oleh Umno. Bagaimanakah pandangan mereka semua boleh menjadi selari? Umno dari dulu lagi sedang memberitahu kepada rakyat bahawa Anwar tidak boleh jadi perdana menteri. Mereka kata Anwar hanya menggilakan kedudukan dan pangkat perdana menteri. Jadi, kerana ini umno mengatakan Anwar harus disingkirkan. Sekarang, apakah perbezaan diantara pendirian umno, Raja Petra, Haris Ibrahim dan Zaid Ibrahim? Umno gunakan isu liwat untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Raja Petra dan Haris Ibrahim mengunakan alam siber untuk melakukan kerja yang sama.

Jadi, sekiranya Anwar dapat disingkirkan, siapakah yang akan beruntong. Tidak ragu lagi, Umnolah yang akan paling beruntung. Anwar menjadi tunggak kekuatan Pakatan Rakyat. Kerana adanya Anwar, PAS dan DAP dapat bersama dalam Pakatan Rakyat. Pakatan menjadi suatu kekuatan yang menggerunkan Umno/BN. Tanpa Anwar kemungkinan Pakatan akan berkecai. Kita mesti ingat pada sejarah gabungan parti PAS dan DAP. Mereka hanya mula bergabung sejak Anwar dimasukkan kedalam penjara pada tahun 1998. Kerana Anwar mereka bergabung dan bersama-sama dengan parti keadilan mereka melancarkan Barisan Alternatif. Tetapi, gabungan mereka hanya bertahan lebih kurang 2 tahun sahaja pada masa itu. Mereka akhirnya berpisah kerana perbezaan prinsip.

Apabila Anwar dibebaskan dari penjara setelah Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, Anwar mengabungkan kembali PAS dan DAP bersama PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat dan pada PRU ke12 pada tahun 2008, Pakatan menguasai 5 buah negeri serta menghilangkan 2/3 majoriti BN dalam Parlimen. Inilah yang menaikkan bulu roma Najib dan sekutunya. Kita melihat Umno/BN memang ada sebab untuk menyingkirkan Anwar kerana gerun dengan kemampuan Anwar untuk mengemudi pakatan pembangkang untuk menjatuhkan BN. Tapi, apakah motif sebenarnya Raja Petra dan Haris Ibrahim?

Apakah kerajaan BN lebih baik dari kerajaan Pakatan Rakyat? Bukankah dalam 2 tahun ini, kerajaan negeri Pakatan Rakyat sudah pun membuktikan dapat mentadbir dengan lebih baik dari BN? Apakah Raja Petra dan Haris Ibrahim dapat menafikan perkara ini? Segala usaha mereka kini hanya akan mengukuhkan kedudukan BN pada PRU ke 13 nanti. PRU ke 13 akan diadakan tidak lama lagi. Serangan kedua bloggers ini juga menjadi lebih ganas lagi. Nampaknya, peluang Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya menjadi lebih malap. Kita tidak menafikan bahawa parti-parti dalam Pakatan rakyat memang mempunyai kelemahan. Tetapi, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melemahkan Pakatan dan memperkasakan Umno/BN!

Walaupun PKR dan Pakatan mempunyai kelemahan masing-masing, tidak dapat dinafikan bahawa, hanya Pakatan Rakyat sahajalah yang mampu menumbangkan Umno/BN dan menghalang Umno terus memperkosa khazanah negara dengan alasan kepentingan Melayu! Umno kini berasa amat lega dengan usaha-usaha kedua bloggers ini yang berkerja keras membantutkan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Raja Petra Kamarudin telah dibebaskan dari segala tuduhan terhadap dirinya di mahkamah Malaysia. Datuk Nazri Aziz berkata, Raja Petra kini bebas pulang ke Malaysia. Sebelum ini, dua ekor katak di DUN Perak iaitu, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) juga dibebaskan dari tuduhan rasuah apabila mereka melompat parti dari PKR dan menyokong Umno/BN, malah, mereka diwakili oleh peguam dari pejabat penasihat undang-undang Umno.

Raja Petra dan Haris Ibrahim harus memahami bahawa kita hanya akan menyokong mereka selama mana mereka menjadi ejen perubahan kearah Malaysia yang lebih adil dan telus serta memberi harapan kepada masa depan yang lebih baik kepada majoriti rakyat negara ini! Apa saja tindakkan mereka yang akan terus memanjangkan jangka hayat Umno/BN yang korup dan zalim ditampuk pemerintahan negara, akan kita tentang!

Bloggers pro-Pakatan kini serba salah, apakah mereka harus mengikuti jejak Raja Petra dan Haris Ibrahim atau terus memberikan perutusan yang positif terhadap PKR dan Pakatan. Saya rasa kita harus bertanyakan suatu soalan, apakah kini Raja Petra dan Haris Ibrahim menjadi ‘trojan Horse’ dikalangan bloggers pro-Pakatan?

No comments: