Tun M diminta lebih matang, tidak api-apikan tohmanan


KUALA LUMPUR, 19 April — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang semalam menyifatkan kaum Cina turut dijangkiti “virus rasisme Cina”, sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecahbelahkan rakyat, kata seorang pembantu pemimpin kanan DAP hari ini.

Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng berkata, beliau amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Dr Mahathir (gambar) yang mendakwa DAP telah berjaya membawa politik perkauman ke Sarawak.

“Tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, anak bekas menteri Kabinet pusat ini berkata, sindiran-sindiran sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia, bukan kempen DAP yang dipertikaikan bekas presiden Umno.Dalam tulisan terbaru blognya, Dr Mahathir mendakwa masyarakat Cina Sarawak turut dijangkiti “virus rasisme Cina” yang menjadi prinsip perjuangan DAP, komponen Pakatan Rakyat, yang memperoleh kerusi terbanyak dan menggandakan kawasan dimenangi mereka hujung minggu lalu.

Dr Mahathir berkata pada masa-masa lalu DAP ditolak sepenuhnya oleh penduduk Sarawak.

Dalam nada sindir, Dr Mahathir menulis, “saya mengucapkan tahniah kepada DAP yang membawa masuk politik rasis ke Sarawak.”

“Sebelum ini kesemua kaum bekerjasama antara satu sama lain bagi kebaikan Sarawak. Sekarang, kita boleh lihat dengan jelas bahawa komuniti Cina telah menolak multirasialisme.

“Kemungkinan SUPP ada melakukan kesilapan, tetapi yang lain-lain dalam BN juga didapati ada kekurangan. Tetapi keseluruhan penolakan adalah oleh masyarakat Cina,” kata beliau.

Pada pilihan raya negeri Sarawak yang berlangsung kelmarin, BN mengekalkan kuasa kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan berbanding 2006.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP-PAS-PKR memperoleh 15 kerusi dan Bebas satu.

Dalam komennya, Zairil menambah, sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP ketika pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, beliau boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa “tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.”

Sepanjang kempen, katanya, isu-isu yang telah DAP tekankan adalah masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi tidak memanfaatkan rakyat, inflasi kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasinya.

“Mungkin dalam pendapat Tun Dr Mahathir, hanya masyarakat Cina yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian? Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?

“Sebaliknya, pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA,” kata beliau.

Namun tegas beliau, rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa ‘masyarakat Cina’ akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihan raya.

“Seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihan raya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran,” katanya lagi.

Tambahan pula, kata beliau, peningkatan undi diperoleh DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu kerana dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaannya adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan.

“Di Batu Kawah pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

“Hakikatnya, saya yakin bahawa Tun Dr Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara. Namun disebabkan motivasi politik, beliau mimilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, sekali lagi rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

“Saya ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris, ‘if you have nothing good to say, say nothing at all’. Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata,” katanya lagi.

No comments: