Niat Najib Razak yang mahu merampas Selangor dengan cara kotor adalah suatu penghinaan dan penderhakaan kepada autonomi rakyat Selangor.


PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan Pakatan Rakyat sudah bersedia mempertahankan Selangor dari ditawan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sekali lagi, saya ingatkan Najib, jangan pernah cabar kami (PKR-Pakatan Rakyat Selangor). Kami telah bersedia untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa.

“Jentera telah kami susunkan, barisan pertahanan telah kami ampuhkan demi terus mempertahankan Selangor, dari kezaliman dan penindasan Umno walau apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang memberi respon kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak pada majlis ‘Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan’ di Shah Alam malam tadi.

Di majlis tersebut perdana menteri mahukan BN merampas semula Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, Zuraida mengingatkan Najib agar jangan berani mencabar dan menjadi penderhaka kepada rakyat Selangor.

“Saya yakin beliau akan menggunakan cara yang lebih teruk berbanding di Perak. Saya mahu mengingatkan Najib, kerajaan Selangor yang dipilih adalah berdasarkan atas mandat pilihanraya yang adil dan bersih.

“Maka, niat Najib mahu merampas dengan cara kotor adalah suatu penghinaan dan penderhakaan kepada autonomi rakyat Selangor,” kata ketua Wanita PKR itu.

Zuraida menambah, jika benar-benar Najib mahu merampas Selangor beliau perlu bersedia berdebat dengan Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini Anwar pernah mencabar Najib berdebat mengenai ekonomi negara tetapi tidak mendapat jawaban positif dari perdana menteri.

No comments: