PKR: Penjanaan elektrik negara perlu reformasi segera

Fazy Sahir | May 31, 2011

Pengarah Strategi PKR berkata sektor penjanaan elektrik di negara ini terus dihantui dengan warisan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan membebankan rakyat.

PETALING JAYA: Pengumuman terbaru kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik semalam hanya membebankan rakyat sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) pula masih menerima keutungan sama dan tidak terkesan dengan kenaikan tersebut.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata sektor penjanaan elektrik di negara ini terus dihantui dengan warisan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan membebankan rakyat.

Menurutnya, pengumuman itu langsung tidak memenuhi sektor penjanaan elektrik yang memerlukan reformasi segera.

“TNB terpaksa membeli elektrik pada kadar yang lebih tinggi dari kos dalaman IPP. Bagi mengimbangi harga elektrik yang terlalu tinggi,TNB dan IPP diberi subsidi gas yang terlalu tinggi setiap tahun dan ditanggung Petronas.

“Kenaikan tarif yang dikenakan akan menjadi pampasan kepada TNB untuk menggantikan potongan subsidi gas akibat kenaikan harga asli dari RM10.70 ke RM13.70 mmbtu. Kesan keseluruhannya langsung tidak mengubah keadaan sekarang.

Rakyat terus dibebani

“TNB masih mencapai keuntungan sama rakyat terus dibebani dengan setiap kenaikan harga dan IPP langsung tidak terkesan kerana ia dilindungi oleh mekanisme harga bahan api sedia ada,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Rafizi berkata, sepatutnya BN mengubah mekanisme tersebut agar IPP juga menanggung kesan kenaikan harga bahan api agar untungnya berkurangan.

Sebaliknya menurut beliau, rakyat terus dibeban apabila tarif elektrik pula akan disemak setiap enam bulan hanya untuk memastikan ia mengikut kenaikan kos bahan api semasa.

Kerajaan mendakwa kenaikan tarif tidak akan memberi kesan kepada 4.4 juta isi rumah dengan alasan penggunaan 300KWJ setiap bulan tidak berubah.

Namun Rafizi berkata walaupun bil elektrik pengguna mungkin tidak berubah, tetapi peningkatan inflasi akibat dari kenaikan tarif akan terus mengurangkan pendapatan boleh belanja setiap bulan mereka.

Beban kenaikan

“Begitu juga isi rumah atau kediaman lain termasuklah kediaman yang dikongsi beramai-ramai oleh pelajar atau pekerja yang bil elektriknya mengatasi paras RM77 sebulan, mereka akan mendapat beban kenaikan tarif dan peningkatan harga barang.

“Kali terakhir asas domestik dinaikkan adalan bulan Jun 2006. Tarif asas bagi 200KWJ pertama sebulan pada masa itu dikekalkan pada kadar sekarang iaitu 21.8sen setiap KWJ. Namun pada 2006 menyaksikan peningkatan harga barang dan kadar inflasi kedua tertinggi dalam separuh dekad yang lepas iaitu aras 3.6%.

“Satu-satunya masa harga barang mencanak dengan lebih cepat adalah pada tahun 2008 akibat kesan berganda kenaikan harga petrol dan diesel,” katanya.

BN ulangi dasar sama

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan BN mengulangi pendekatan dasar sama pada tahun ini dengan menaikkan harga barangan asas secara serentak iaitu gula,petrol,diesel dan kini elektrik.

Kesan gabungan berganda ini dijangka akan mendorong inflasi bagi tahun 2011 mengatasi kadar pada tahun 2006 yang menyaksikan berjuta isi rumah berdepan masalah kenaikan harga barang dan pendapatan boleh belanja mereka semakin mengecil.

“Rakyat tidak perlukan penarikan subsidi sembrono yang menyebabkan kenaikan harga barang. Mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab dan menghadapi krisis defisit dan inflasi di Putrajaya seperti dihadapi kerajaan sekarang.

Langkah berani

“Sepatutnya kerajaan mengambil langkah berani dan ada kekuatan moral untuk menyelesaikan masalah ini di peringkat umbi,” katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Semalam kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar purata tarif elektrik sebanyak RM2.23 senkWj (7.12 peratus) berkuatkuasa 1 Jun depan

Ini berikutan peningkatan harga gas bagi sektor elektrik dan industri sebanyak RM3 yang juga berkuatkuasa esok dan perkara itu diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Peter Chin Fah Kui

Sehubungan itu, tarif elektrik akan dinaikkan daripada kadar purata semasa RM31.31senkWj kepada 33.54senkWj, satu kadar baru selepas kali terakhir ditetapkan pada tahun 2006.

No comments: