‘Tolak kotor, ambil Bersih’

FMT Staff | July 27, 2011

"Sekiranya sistem biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak," kata Mursyidul Am PAS.

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan bahawa beliau hanya akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui.

“Sekiranya sistem biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Tolak kotor, ambil Bersih,” katanya kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik di Kota Bharu.

Semalam, sebuah akhbar tempatan mendedahkan di muka depannya bertajuk “Nik Aziz sokong biometrik”, sekaligus menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai mengenai pendirian sebenar PAS yang menolak penggunaan sistem itu dalam pilihan raya umum nanti.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sistem biometrik terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik.

“PAS tetap berpendirian untuk mendesak supaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menggunakan dakwat celup jari ketika mengundi bagi membasmi pengundi hantu dan juga pengundi yang mengundi banyak kali dalam setiap pilihan raya,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

“Adapun laporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat. Saya menyokong pendirian PAS Pusat yang menolak kaedah biometrik yang ingin diperkenalkan oleh SPR,” tegas Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam sidang media bersama pimpinan PAS yang lain menjelaskan, PAS mengambil keputusan menolak cadangan kerajaan untuk menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini seperti yang diumumkan oleh SPR baru-baru ini.

Penolakan PAS terhadap sistem biometrik kerana diyakini sistem tersebut tidak berkemampuan menyelesaikan masalah pengundian bertindih dan menghalang masalah yang berlaku dalam pilihanraya di negara kita sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, sebaliknya PAS tetap bertegas untuk menggunakan dakwat kekal kerana hanya dengan cara itu yang dapat mengatasi masalah pengundian bertindih dalam pilihanraya di negara kita.

Menurutnya, keputusan menolak penggunaan sistem biometrik dibuat oleh PAS hasil perbincangan yang diadakan oleh para pemimpin PAS pada mesyuarat khasnya di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur yang diadakan semalam.

Tag: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

No comments: