Nik Aziz nafi bincang dengan Ku Li isu Ketua Pembangkang

Jamilah Kamarudin | August 1, 2011

Saya nasihatkan sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar," kata Mursyidul Am PAS.

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan wujudnya perbincangan tertutup antara dirinya dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengenai isu pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Nik Aziz dalam responnya terhadap laporan akhbar New StraitsTimes (NST) semalam berkata dakwaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Omar Salleh yang mengatakan dirinya yang mahu Ku Li menggantikan Anwar dalam sebuah pertemuan sulit itu ‘kelakar’.

“Lawak jenaka! Itulah saja yang boleh saya sifatkan kepada khabar angin yang mengaitkan saya dengan perbincangan rahsia untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nasihatkan sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar.

Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab (disoal) oleh Allah di akhirat kelak,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan dalam laman sosial Twitter dan Facebook miliknya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut mempersoalkan mengenai spekulasi Anwar akan dipenjara sedangkan keputusan mengenai kes liwat II masih belum diputuskan mahkamah dan masih diperingkat pembelaan.

Putar belit

Katanya, ini hanyalah satu isu tidak benar yang diputarbelitkan oleh media massa milik Umno-Barisan Nasional (BN).

“Apa yang peliknya, ada akhbar yang boleh membuat cerita bahawa cadangan ini timbul kerana dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke penjara ekoran kes liwatnya yang sedang dibicarakan.

“Adakah benar keputusan mahkamah di negara ini sudah boleh dijangka atau sememangnya keputusan tersebut sudah bocor?

“Setakat itulah sahaja saya ingin memberikan respon tehadap ‘lawak jenaka’ media massa terbaru milik Umno-BN ini,” katanya.

Spekulasi mengenai beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang mahu Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) tercetus sejak minggu lalu apabila Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim mendakwa mendapat maklumat tersebut daripada rakannnya yang juga pemimpin dalam PKR.

Zahrain mendakwa tindakan Pakatan Rakyat kini terdesak mencari ketua pembangkang yang baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memandangkan peluang Anwar dikenakan hukuman kerana kes liwatnya terhadap bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tinggi.

No comments: