Nik Aziz: Zahrain, katak yang lompat macam ‘sampah’

FMT Staff | August 3, 2011

"Dia tak kenal saya, saya tak kenal dia, orang yang lompat macam ini seperti sampah," katanya.

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim sebagai “sampah”.

“Dia tak kenal saya, saya tak kenal dia, orang yang lompat macam ini seperti sampah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berhubung Zahrain mencabar beliau supaya membuat kenyataan terbuka menafikan pertemuannya dengan Tengku Razaleigh mengenai isu mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang itu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Sebuah akhbar tempatan hari ini yang membawa tajuk “Zahrain cabar Nik Aziz” di muka depan memetik Zahrain sebagai berkata, tidak cukup bagi Nik Aziz menafikan pembabitannya dengan rancangan itu hanya menerusi Facebook.

Antara lain, Zahrain turut berkata, “saya cabar Nik Aziz buat kenyataan terbuka menafikan beliau ada berjumpa Tengku Razaleigh berbincang mengenai perkara itu.

“Nik Aziz jangan cuba berselindung di sebalik nota ditulis oleh orang lain dalam Facebook kerana kenyataannya sentiasa berubah,” kata Zahrain.

Dalam perkembangan yang lain, Nik Aziz menafikan laporan sebuah portal berita, www.kelatekito.net menyebut bahawa keadaan kesihatannya semakin serius di mana beliau dikatakan disahkan menghidap sejenis barah tetapi mengesahkan yang beliau kini menghadapi masalah saluran jantung tersumbat yang membatasi pergerakan hariannya.

“Kesihatan saya tak ada apa. Dakwaan itu tak betul…mengarut saja. Saya hanya (hadapi masalah) ada tiga saluran jantung yang tersumbat.

“Cuma dalam rawatan saya terbaru di hospital tiga bulan sekali, saya tanya doktor di musim durian begini kolesterol saya tak tinggi, saya pun pelik,” kata Nik Aziz.

No comments: