UIA sekat budaya ilmu dan memperkasakan budaya politik bodoh


Tindakan ini (menggantung tugas Aziz Bari) merendahkan martabat para akademia dalam tugasan harian mereka.

PETALING JAYA: Tindakan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pensyarah undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari membantut proses penyuburan ilmu kepada rakyat.

Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan ini sekali gus merendahkan martabat para akademia dalam tugasan harian mereka untuk memberi pandangan dan pendapat dalam kepakaran mereka.

“Adalah sesuatu yang memalukan dan menzalimi para cendakiawan di Malaysia apabila ditekan dan disekat hanya kerana memberi pandangan bersandarkan fakta-fakta imperikal yang sememangnya menjadi kepakaran mereka.

“Isu yang timbul, yang dipolemikkan oleh sesetengah media dan politikus tertentu melibatkan Aziz Bari, harus dianalisa ketepatannya terlebih dahulu dalam konteks perundangan, bukan sekadar persepsi daripada sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau, “mereka seharusnya diberikan ruang untuk memberi komentar mahupun kritikan selagimana ia bersifat membina dan berada dalam kerangka undang-undang negara.

“Oleh yang demikian atas prinsip kebebasan akademik, PKR berharap isu ini dapat dirungkai oleh UIA agar ia dapat dikendalikan dengan penuh hemah dan wibawa tanpa mencemarkan budaya ilmu.

Politik membuli

Ketua Penerangan parti itu, Dr Muhammad Nur Manuty, menyifatkan penggantungan tugas Aziz Bari sebagai satu lagi manifestasi penerusan politik membuli dan campur tangan terhadap pelbagai institusi penting negara yang semakin mengggila sekarang ini.

“Gejala seburuk ini tidak mungkin berlaku di mana-mana negara yang dianggap maju dan tinggi martabat akademiknya,” kata beliau dalam satu kenyataan media yang berasingan.

Beliau berkata, sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, UIA sewajarnya memiliki kebebasan akademik dan keterbukaan dalam memberikan pandangan khususnya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan ahli akademik yang terlibat.

“UIA sepatutnya tidak harus memberikan reaksi yang menampakkan ia dipengaruhi oleh pihak luar yang boleh menjejas imej dan martabat akademiknya.

“Seharusnya, kenyataan beliau itu perlulah dilihat dari perspektif seorang pakar perlembagaan yang sememangnya diiktiraf, berautoritatif dan menjadi rujukan akademik sekian lama,” katanya.

No comments: