Warga Aman gesa Himpun dibatal elak ketegangan agama

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Angkatan Warga Aman Malaysia yang mendakwa mewakili lebih 20 badan bukan kerajaan menyeru agar penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) segera membatalkan kempen terhadap Kristian yang didakwa mencabar akidah umat Islam demi mengelakkan ketengangan agama.

Setiausaha Agungnya Barathidasan Saminathan berkata, Angkatan Warga Aman Malaysia percaya perhimpunan itu boleh mencetuskan suasana tidak selesa antara komuniti berlainan agama, merenggang hubugan baik semua masyarakat negara ini.

“Ia juga akan menjejaskan usaha murni Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pemimpin-pimpin dan kerajaan BN mempromosikan 1 Malaysia demi kesejahteraan, persefahaman dan keharmonian kaum,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu kata beliau, Angkatan Warga Aman Malaysia juga berpendapat bahawa perhimpunan itu dibimbangi akan dieksploitasikan oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan tegang dalam hubungan antara agama.

“Saya juga ingin merakamkam rasa kesal terhadap pihak polis dan kerajaan Barisan Nasional yang mengamalkan ‘double standard’ memberikan permit dalam perhimpunan ini dan melarang sama-sekali perhimpunan Bersih 2.0 berhimpun walaupun dengan jumlah yang kecil.

“Angkatan Warga Aman Malaysia menyeru agar kerajaan BN dan pihak polis perlu bersikap adil sewaktu mengambil tindakan membatalkan perhimpunan Bersih 2.0, jadi langkah yang sama perlu dikena kan terhadap penganjur Himpun. Maka secara automatik rakyat akan menaruh lebih kepercayaan diatas kredibilit Polis Diraja Malaysia dan kerajaan BN,” katanya lagi.

No comments: