Bantu rampas Perak, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dapat ‘hadiah’ kontrak lebuhraya RM2.2 bilion

February 21, 2012

Kontroversi terbaru timbul ekoran pemberian konsesi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) kepada dua tokoh yang menjadi dalang menggulingkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

PETALING JAYA: Kontroversi terbaru timbul berhubung pemberian konsesi bernilai RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) kepada dua tokoh yang terlibat dengan rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) di Perak.

Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dua tokoh tersebut ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Hafarizam merupakan pengarah dua buah syarikat yang menerima konsesi tersebut Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

“Sementara isteri Zaki Azmi merupakan pengarah syarikat Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya.

“Kenyataan syarikat tersebut sendiri menyatakan mereka berhasrat menjadi “Syarikat Kejuruteraan Rel Utama di Malaysia dan Rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru itu, Nurul mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan tentang beberapa isu yang timbul ekoran dari pemberian projek lebuhraya Kidex ini.

Beliau mahu Najib menyatakan pendiriannya berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009 yang menyatakan “seorang hakim akan, pada masa pelantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan.”

Isytihar aset

Merujuk kepada peruntukan ini katanya, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini.

Nurul juga mahu kerajaan mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail.

“Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?

“Bagaimanakah pemberian konsesi dan pakej kontrak ini selari dengan dasar pentadbiran ini, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif

Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi? Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?,” soal beliau.

Menurut Nurul, Hafarizam dalam smsnya kepada sebuah portal berita mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara sebilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

“Malang sekali apabila sebuah isu tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban yang akan memberi impak kepada semua rakyat sekali lagi dilihat dari perspektif kaum.

“Hakikatnya, sekiranya tuduhan ini terbukti benar, sekelompok kecil kroni akan sekali lagi mendapat durian runtuh sedangkan ramai rakyat Malaysia, termasuk majoriti masyarakat Bumiputera terpaksa menjadi mangsa projek ini,” terangnya.

Nurul juga mahu terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih didedahkan agar projek ini tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.

No comments: