PKR gesa keluarga Shahrizat cagar harta peribadi

Jamilah Kamarudin | April 9, 2012

Cagaran itu wajar dilakukan sebagai syarat jaminan peribadi daripada keluarga Shahrizat.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mencagarkan harta peribadi kepada kerajaan Malaysia dalam masa terdekat sebagai timbal balik pembayaran pinjaman RM250 juta.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, cagaran itu wajar dilakukan sebagai syarat jaminan peribadi daripada keluarga Shahrizat
yang didapati gagal menguruskan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dengan baik.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan perlu menggunakan kuasa yang ada padanya bertindak sebagai ‘orang tengah’ mendesak keluarga Shahrizat supaya membuat cagaran dalam minggu ini juga.

“Jika NFCorp gagal membayar jumlah pinjaman pertama dalam tempoh dua minggu (bayaran yang telah lewat seperti yang didedahkan oleh Jaawatankuasa Kira-Kira Negara) maka Najib perlu mengambil tindakan melelong harta tersebut untuk mendapatkan kembali dana rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya, jika cagaran tidak berlaku dalam masa seminggu ini pihaknya akan terus mendedahkan harta lain yang telah dibeli oleh keluarga Shahrizat yang masih belum diketahui umum dan segala penyelewengan lain bersabit NFCorp.

Rafizi minggu lalu mendakwa Pengerusi Eksekutif (CEO) NFC Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail dan anaknya Wan Shahinur Izran Mohd Salleh cuba melupuskan aset hartanah syarikat itu bernilai RM4 juta walaupun kerajaan telah membekukannya sejak 14 Januari lalu.

Tiga hartanah terbabit merupakan kedai pejabat tingkat 1 hingga 3 yang dijual berasingan di Plaza Damas 3, Taman Sri Hartamas, di sini yang bernilai masing-masing RM1.5 juta, RM759,000, serta RM741,000, dengan menawarkan diskaun pembelian 25 peratus dan kini dalam proses rundingan terakhir dengan syarikat Insun Development Sdn Bhd.

No comments: