Kes Shahrizat: Keputusan SPRM timbulkan lebih soalan walaupun sudah dijangka SPRM, kuli UMNO

Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini berhubung kes NFC/penglibatan Shahrizat Jalil serta tuduhan terhadap Azmin Ali. 

Sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat Jalil dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin Ali (gambar kanan) benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM. 

Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin Ali walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, pada ketika itu) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995. 

Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat Jalil, walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau. Kami bentangkan fakta-fakta berikut agar rakyat boleh menghakimi sendiri tindak-tanduk SPRM dalam dua kes ini: 

KES AZMIN ALI 
 1. Shafee Yahaya, bekas Ketua Pengarah BPR telah membuat kenyataan hari ini dan semalam bahawa siasatan mendapati tidak ada unsur rasuah yang mewajarkan dakwaan ketika siasatan dibuat terhadap Azmin Ali dalam tahun 1995; 

2. Beliau menyatakan bahawa SPR mengesyorkan agar tindakan disiplin dikenakan terhadap Azmin Ali bertepatan dengan peraturan jabatan kerajaan; 3. Insiden dan fakta kes ini telah dinyatakan secara jelas di dalam bukunya "The Shafee Yahaya Story" mukasurat 306, 326 dan 356. 

KES NFC- SHAHRIZAT JALIL 
1. Noh Omar telah menyatakan di Parlimen bahawa tender NFC dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya enam buah syarikat, antaranya NFCorp dan Felda Farm Products Sdn Bhd. Hanya Felda Farm Products Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri penternakan, sedangkan NFCorp hanya baru ditubuhkan; 
2. Berdasarkan peraturan umum perolehan dan tender mana-mana badan (apatah lagi projek besar kerajaan), tindakan menganugerahkan tender kepada sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya adalah satu tindakan rasuah; 

3. Ini bermakna, Jawatankuasa Tender Berimpak Tinggi yang dipengerusikan oleh Najib Razak sendiri telah melakukan perbuatan rasuah dengan menganugerahkan projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya; 

4. Satu-satunya hubungkait (atau pertalian) di antara Najib Razak (sebagai pengerusi Jawatankuasa Tender) dan NFCorp adalah Shahrizat Jalil (gambar kiri, kiri ) melalui hubungan kekeluargaan beliau (dengan NFCorp) dan hubungan politik (dengan Najib Razak). 

Rakyat sudah tentu dapat membezakan bagaimana SPRM berhempas pulas membuka fail siasatan baru terhadap Azmin walaupun tiada fakta, tetapi melepaskan sahaja Shahrizat Jalil walaupun jelas satu perbuatan pecah amanah telah berlaku. Kami yakin SPRM tidak pun memanggil Najib Razak untuk disoalsiasat walaupun beliau saksi utama yang perlu ditemuramah untuk memahami kenapa tender RM250 juta dianugerahkan kepada NFC. 

Malah, kami sendiri pelik kenapa kami tidak dipanggil untuk disoalsiasat sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan penyelewengan NFC? 

Kami yakin bahawa rakyat telah memutuskan ada perlakuan rasuah di dalam kes NFC. Tugas SPRM sekarang bukanlah menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional untuk membuka fail menyiasat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di kala pilihanraya begitu dekat. 

Tugas SPRM ialah menjawab persoalan-persoalan mengenai kes pecah amanah besar seperti NFC. Soalan kami mewakili rakyat Malaysia kepada SPRM: Jika Shahrizat Jalil tidak terlibat, apakah ini bermakna Najib Razak yang pecah amanah kerana beliau (tanpa dipengaruhi dan diminta oleh Shahrizat Jalil) menganugerahkan tender RM250 juta kepada NFCorp yang tidak layak? 

No comments: