Dalam soal pendidikan, perkara yang perlu diberi perhatian adalah kelayakan pelajar dan bukannya kuota atau bangsa

Bernama pada 2 Julai 2012 melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia bakal membuat tawaran ‘sekali sahaja’ (one-off) bagi 557 pelajar kaum India lepasan SPM yang layak untuk mengikuti matrikulasi (ambilan ketiga) di 13 kolej matrikulasi kerajaan seluruh negara.

Langkah ini adalah suatu ‘perkembangan positif’ tetapi tidak memberi jaminan bagi para pelajar pada masa hadapan bahawa mereka yang layak akan tetap menerima tempat meneruskan pengajian matrikulasi.
Pada akhir Februari 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman bahawa kemasukan pelajar kaum India ke kolej matrikulasi kerajaan akan ditambah kepada lebih 1,500 bagi sesi 2012/2013.

Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin pula pada 2 Julai 2012 mengatakan bahawa tawaran ini adalah ‘one-off’ – sekali gus tidak semestinya menyelesaikan masalah pada masa hadapan.
Dalam soal pendidikan, perkara yang perlu diberi perhatian adalah kelayakan pelajar dan bukannya kuota mengikut kaum. Lebih parah sekiranya dijadikan ‘umpan’ bagi memancing undi.
Apa yang sangat dibimbangi adalah bahawa peluang ‘memenuhi kekosongan tempat matrikulasi’ hanya bagi menjaga hati pengundi kaum India menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sekiranya kerajaan benar-benar mahu ‘menepati janji’ dan benar-benar prihatin terhadap aspek/peluang pendidikan rakyat Malaysia (tanpa mengira kaum), maka tidak perlu menawarkan peluang ‘sekali sahaja’ kepada pelajar yang sebenarnya layak mendapat tempat untuk meneruskan pengajian.
Sebaliknya, sebuah kerajaan yang prihatin terhadap soal kebajikan rakyat dan soal pendidikan akan membuka peluang kepada semua pelajar yang layak tanpa mengenakan syarat ‘kuota kaum’ dan ‘sekali sahaja’.

No comments: