Lima ribu banjiri Himpunan Oren


Peserta perhimpunan dihalang untuk mendekati pintu masuk Istana tetapi lapan daripada mereka dibenarkan untuk menyerahkan memorandum tersebut.
KUALA LUMPUR: Seramai lima ribu orang menyertai ‘Himpunan Oren Selamatkan Felda’ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Perhimpunan itu yang dianjurkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul di perkarangan masjib tersebut sejak 1.00 tengahari tadi dan berjalan ke arah Istana Negara untuk menyerahkan memorandum bagi menyuarakan bantahan penyenaraian itu.
Mereka telah dihalang untuk mendekati pintu masuk Istana tetapi lapan dari mereka dibenarkan untuk memasuki kawasan Istana untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Pihak polis, yang memantau perhimpunan tersebut, membenarkan peserta berarak bermula jam 2.00 petang daripada Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta ke checkpoint pertama di perkarangan tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
Kemudiannya di tempat letak kereta itu, polis membenarkan wakil peneroka, selain pemimpin NGO dan parti politik memberikan ucapan sehingga pukul 3.00 petang.
Peserta himpunan sekali lagi dibenarkan polis berarak menuju ke pintu belakang, pintu 3 Istana Negara melalui Jalan Sri Hartamas dan Jalan Segambut sejauh hampir 3 kilometer.
Perarakan itu berhenti dalam lingkungan 600 meter daripada pintu 3 Istana Negara dan hanya lapan wakil sahaja dibenarkan mendekati masuk ke istana untuk menyerahkan memorandum.
Penyerahan memorandum diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan beliau memberitahu pihak media bahawa memorandum itu diterima Pegawai Perhubungan Awam Istana, Khairi Abdul Rahman.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula berkata penyerahan memorandum itu tidak akan berakhir di situ sahaja.
Beliau berkata pihaknya akan memfailkan saman sebanyak RM80 juta terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluahkan kata kesat ‘haram jadah’ terhadap lapan wakil peneroka.
Mohon Agong campurtangan
Selain Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, pemimpin Pakatan Rakyat dan 50 NGO lain turut menyertai perhimpunan tersebut.
Semalam pihak polis memberi lampu hijau untuk perhimpunan tersebut dengan beberapa syarat setelah berbincang dengan panjang lebar bagi memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar dan aman.
Mazlan yang juga Koordinator Gerakan Selamatkan Felda (GSF) berkata, himpunan itu dibenarkan setelah mengadakan perbincangan hampir dua jam antara pihaknya dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan, OCPD Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, serta 20 pegawai polis lain di Balai Polis Kepong.
Memorandum, yang diserahkan itu mengandungi tuntutan lapan perkara iaitu meminta pemecatan Mohd Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, membatalkan pinjaman bank peneroka, membatalkan cagaran tanah Felda Plantations dan menyelesaikan tuntutan peneroka.
Selain itu, memorandum juga menuntut supaya hutang peneroka dihapuskan, melindungi tanah peneroka, memberi jaminan kepentingan masa depan generasi kedua dan ketiga serta membubarkan Felda Plantations dan membuka Felda baru untuk generasi baru Felda.

No comments: