Marina dan Ambiga ‘bertambat bulu’, Mahathir kecoh

June 30, 2012
Jika Marina memilih untuk mencari kebenaran maka tindakan beliau sekarang amatlah benar dan betul.
Oleh Aspan Alias
Dalam politik anak dan bapa juga ada yang tidak sehaluan. Dalam interview Dr Mahathir dengan Mob TV, beliau telah menegur anaknya

Marina supaya berhati-hati dengan tindak tanduknya (Marina) kerana tindak tanduk Marina itu akan menjejaskan parti pemerintah iaitu UMNO serta menjejaskan juga politik ahli keluarga beliau. Mahathir begitu sangsi yang tindakan Marina bergiat dan menyokong Bersih 3.0 dan Bersih yang sebelumnya itu akan menjejaskan politik adiknya Muhkriz.

Pandangan Dr Mahathir terhadap anaknya itu ada benar dan salahnya. Jika Mahathir lebih memikirkan politik peribadi dan keluarga beliau maka kata-kata beliau itu benar dan betul seratus peratus. Memang banyak pun yang memberi pandangan yang Mahathir ini tidak payah diambil pusing nasihat dan kata-katanya kerana anak beliau sendiri telah menunjukkan sikap ‘anti establishment’ dan Marina telah menunjukkan banyak contoh sikap tidak sehaluan dengan kerajaan BN sekarang ini.

Tetapi jika Mahathir mampu memandang dari sudut lain, iaitu sudut memperjuangkan kebenaran, apa yang dilakukan oleh Marina itu patut direstui oleh Mahathir kerana beliau sepatutnya faham yang Marina itu adalah pejuang kepada tuntutan yang di perjuangkan oleh
Bersih dan banyak NGO-NGO yang lain. Mahathir sepatutnya merasa bangga dengan ketegasan anak perempuannya itu jika beliau (Mahathir) mengakui kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina itu.
Tetapi nampaknya Mahathir lebih cenderung untuk menjaga kepentingan politik anak lelakinya, Mukhriz dan beliau tidak pertimbangka kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina yang mendapat perhatian banyak pihak sambil memberikan sokongan kepada pejuang reformasi pilihanraya itu.

Bagi Mahathir kebenaran dalam isu ini ialah menjadikan Mukhriz sebagai pemimpin politik besar dan sebesar mana pun kebenaran yang diperjuangkan oleh anak perempuannya Marina itu tidak mendapat perhatian beliau. Bagi Mahathir kebenaran itu ialah kuasa dan tidak yang lain. Mahathir semalam mengakui yang beliau akan menyokong Mukhriz jika UMNO menurunkan anak emasnya itu bertanding
disalah satu kawasan DUN di Kedah untuk menjadi Menteri Besar Negeri Jelapang Padi itu.
Warisan politik
Niat Mahathir untuk meninggalkan warisnya dalam politik tanah air itu sememangnya telah dihidu oleh semua orang dan pengakuan beliau itu tidak mengejutkan sesiapa. Malahan mata Mahathir akan tertutup rapat jika beliau meninggal dunia selepas melihat anaknya itu menjadi orang besar negara seperti beliau. Tuduhan ramai terhadap Mahathir yang beliau membuat ‘bising’ sekarang ini adalah untuk kepentigan keluarga beliau.
Mahathir tentunya mahukan anaknya menjadi seperti Najib dan Hishamuddin yang kedua-duanya adalah anak-anak kepada bekas Perdana
Menteri negara. Jika Mahathir berjaya untuk menjadikan anaknya itu pemimpin besar dan akhirnya menjadi Perdana Menteri maka beliau akan berjaya untuk menyambung tradisi yang pemimpin-pemimpin yang akan datang mesti datang dari keluarga bekas-bekas Perdana Menteri.

Itulah sebabnya Mahathir begitu marah apabila Mukhriz mendapat nombor tercorot dalam pemilihan Ketua Pemuda Malaysia apabila undi beliau jauh kebelakang dari undi-undi yang diperolehi oleh Khairy dan Khir Toyo dalam pertandingan itu. Yang Mahathir marah sekali ialah terhadap menantu Pak Lah yang telah berjaya mendapatkan undi tertinggi dalam pemilihan Ketua Pemuda itu.

Akhirnya Marina sendirilah yang berhak untuk memilih diantara kebenaran atau politik adik beradik dalam isu ini. Jika Marina memilih untuk mencari kebenaran maka tindakan beliau sekarang amatlah benar dan betul.

Tetapi jika Marina memilih untuk mementingkan politik bapanya dan adik beradiknya eloklah beliau (Marina) mengikut sahaja kata-kata ayahanda beliau itu. Tetapi saya yakin Marina akan terus memilih kebenaran kerana saya rasa beliau tahu yang kebenaran itu akan timbul akhirnya.
Tetapi jika Marina mengikut kehendak bapanya itu janganlah putuskan hubungan baik dengan Ambiga yang telah terjalin begitu rapat selama ini. Marina dan Ambiga itu bersahabat baik. Baiknya Ambiga dengan Marina itu seperti orang ‘bertambat bulu’. Itu kata orang tua -tua dahulu.


No comments: