Pampasan seumur hidup untuk mangsa keganasan polis pada perhimpunan aman BERSIH 3.0

Hishammuddin patut mengambil inisiatif untuk menggesa kerajaan agar memberi pampasan seumur hidup kepada Asrul, seorang jurutera mekanikal sebagai token kebertanggungjawaban dan penyesalan diatas insiden kekejaman polis dan keganasanpada perhimpunan aman BERSIH 3.0 yang telah mengakibatkan Asrul kini "buta" dan tidak boleh diambil bekerja. Gambar diambil selepas dicederakan dalam perhimpunan BERSIH 3.0.
 
Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein patut mengambil inisiatif untuk menggesa kerajaan agar memberi pampasan seumur hidup kepada Asrul Wadi Ahmad (gambar kanan), 27, seorang jurutera mekanikal sebagai satu kebertanggungjawaban dan penyesalan di atas insiden kekejaman polis dan keganasan apabila peserta perhimpunan aman BERSIH 3.0 ditembak dengan kanister gas pemedih mata pada 28 April yang telah mengakibatkan Asrul "buta" dalam diagnosis klinikalnya dan tidak boleh diambil bekerja. 

Asrul, dalam keterangannya dalam siasatan SUHAKAM berhubung dengan keganasan dalam perhimpunan BERSIH, telah berkongsi kisah dan pengalaman beliau yang menyayat hati apabila terkena tembakan kanister gas pemedih mata semasadalam perhimpunan aman BERSIH 3.0. 

Sebelum insiden tersebut, penglihatan Asrul sempurna 20/20 tetapi kini tahap penglihatan dalam mata kanannya hanyalah 15%. Akibatnya, beliau mungkin tidak boleh diambil bekerja sebagai jurutera mekanikal walaupun mendapat ijazah dalam kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Tun Hussein Onn dalam bulan Februari. 

Asrul telah berunding dengan dua hospital swasta serta tiga hospital kerajaan dan malangnya telah diberitahu bahawa kecederaan yang dialami pada mata kanannya agak teruk dan penglihatannya tidak dapat dipulihkan semula dengan menggunakan prosedur perubatan. 

Asrul mengimbas kembali pengalaman pahit beliau semasa perhimpunan aman BERSIH 3.0 dalam siasatan SUHAKAM. 

Detik-detik sebelum insiden tersebut, Asrul (gambar kiri) yang pada masa itu bersama dengan ayahnya dan adik lelakinya, telah melarikan diri daripada semburan air di Jalan Tun Perak yang bersebelahan dengan Dataran Merdeka. 

Katanya, "Kami berlari dari lokasi tersebut apabila gas pemedih mata ditembak, kami bertiga mendapat perlindungan di Masjid Jamek. 

Seketika kemudian, kami berjalan keluar daripada Masjid Jamek tetapi disebabkan orang ramai yang berpusu-pusu dan kelam-kabut, saya dan adik saya telah berpisah daripada ayah saya. 

Pada saat itulah saya terkena tembakan kanister tersebut dan telah jatuh. Kanister tersebut diarahkan dan ditembak terus kepada saya, saya telah nampak kanister itu dengan jelas. 

Orang ramai di sekeliling saya telah membawa saya kembali ke Masjid Jamek dan bantuan kecemasan paramedic telah datang dengan ambulans yang digunakan untuk membawa saya dan adik saya ke hospital." (Malaysiakini) 

Mata kanan Asrul telah diberi sembilan jahitan dan dua lagi bagi kecederaan yang dialami di bawah hidungnya. 

Sekiranya Hishammuddin tidak bersedia untuk mengambil inisiatif untuk menggesa kerajaan untuk memberi pampasan kepada Asrul, satu kempen di seluruh Negara harus dilancarkan untuk menuntut Hishammuddin dan kerajaan bertanggungjawab di atas kecederaan kepada mata Asrul dan untuk bertanggungjawab untuk memberi pampasan seumur hidup kepada Asrul.

No comments: