Kaum Cina dan India adalah kaum pendatang – warganegara kelas dua

By klpost
 
Mainan politik parti-parti kaum seperti UMNO, MCA dan MIC pastilah latar dan gaya kempen politik mereka akan sentiasa dan sarat dengan elemen kaum yang biasanya terlajak kepada hasutan perkauman.

Ini akan disulam dengan elemen keagamaan sebagai minyak pelincir yang akan melancarkan serangan dan fitnah terhadap parti lawannya.

Kempen perkauman UMNO-BN
1. Ramai pemimpin UMNO mengatakan kaum Cina dan India adalah kaum pendatang. Dengan kata lain, kaum-kaum ini tidak boleh ada hak yang sama seperti mana hak-hak Melayu dan Bumiputera. Dengan bahasa yang lebih canggih, mereka ini adalah warganegara kelas dua. Ini jelas satu kenyataan menghina, sedangkan UMNO akan melenting dan marah jika pemimpin Melayu Islam mereka dikritik oleh kaum bukan Melayu. Pastinya ia akan dibalas dengan caci maki, koyak dan pijak gambar si pengkritik. Inilah gaya dan moral politik perkauman UMNO.

2. Semua pemimpin UMNO mengatakan bahawa bangsa Melayu akan musnah tanpa ada kuasa politik UMNO. Ini memberi erti yang pelbagai dan isinya sangat beracun. Ia boleh ditafsir sebagai amaran kepada kaum-kaum lain di Malaysia bahawa kuasa politik Melayu (baca:UMNO) tidak boleh dicabar, tidak boleh dipersoal, tidak boleh dikritik walaupun ternyata sesetengah pemimpin mereka itu rasuah. UMNO tidak boleh menerima apa jua kritikan, seolah-olah bangsa Melayu jenis UMNO ini maksum (suci dan tiada dosa). Dan pastinya kenyataan sebegitu dengan sengaja ingin mengundang rasa benci ke atas kaum Melayu kepada kaum-kaum lain.

3. MCA dan Gerakan pula mendakwa DAP menjadi boneka PAS kerana apabila PR memerintah kelak, DAP dituduh akan tunduk untuk menerima hukum hudud. Ini membawa maksud yang sangat jelas bahawa, mereka sengaja hendak menakut-nakutkan masyarakat Cina atau India dengan menggunakan hudud (agama) bahawa DAP tidak mampu memperjuangkan nasib kaum mereka. Dengan kata lain, MCA memfitnah DAP kononnya ia hanya akan mampu melihat kaum Cina kena seksa dan potong tangan apabila PAS memerintah bersama Pakatan Rakyat.

Sedangkan semua tahu bahawa DAP dan PAS terus teguh mempertahankan prinsipnya tanpa menyinggung perasaan sahabatnya dalam PR. Malah dalam Pakatan Rakyat sendiri telah menegaskan bahawa semua parti komponan PR telah ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam isu hudud dan pada masa yang sama, PR terus konsisten mengekalkan semangat dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Yang lebih ironik, di pihak BN sendiri, terus membisu dalam isu hudud ini. Langsung tiada kata sepakat antara mereka. Sudah tentu media massa kawalan UMNO-BN pura-pura tidak sedar atau menutup pekung dalaman UMNO-BN dalam soal hudud.

4. UMNO menuduh bahawa DAP ingin menubuhkan negara Kristian dan menghapuskan agama rasmi, bahasa rasmi dan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Ini jelas sekali merupakan serangan jahat yang sangat mengelirukan rakyat. DAP bukanlah parti yang berasaskan dan beragendakan fahama apa-apa agama. Tetapi, DAP menerima semua nilai-nilai baik yang dibawa oleh mana-mana agama termasuk Islam. Nilai-nilai inilah yang dipegang oleh DAP.

Jadi, tidak timbul sama sekali, agama menjadi matlamat DAP, sebaliknya DAP akan terus kekal menjadi sebuah parti politik untuk merangka dan mentadbir negara. DAP tidak ada keinginan untuk menjaga iman seseorang itu. Sebaliknya DAP memberi kebebasan kepada setiap individu dan para penganut apa-apa agama untuk beramal dan menjadi umat yang baik dan jujur.

Rakyat dapat apa?

Dalam dimensi kempen sebegini, selain kemenangan dan kuasa yang diperolehi oleh parti dan ahli politiknya, kita ingin melihat juga hasil yang mungkin dituai oleh para penyokong dan pengundi UMNO-BN – yakni rakyat secara keseluruhannya.

Adakah rakyat akan bertambah bijak setelah percaya dengan kempen perkauman UMNO-BN ini? Jawabnya tidak. Kerana, atas apa jua hujah dan alasan, kempen yang menggunakan elemen perkauman hanya akan memecahbelahkan keharmonian antara kaum. Mereka yang menyokong UMNO dan BN, akan sentiasa curiga dan was-was dengan kaum lain walaupun selepas kempen dan musim pilihanraya selesai.
Perasan ini akan berterusan dari masa ke semasa. Prasangka akan merebak setiap hari dalam pelbagai urusan seharian, di warung, di pasar raya, di tandas awam, di tempat letak kereta hinggalah di pejabat dan di sekolah.

Mereka-mereka ini akan terus berkonspirasi dan umpat-mengumpat terhadap sesama mereka. Apa yang mereka pelajari, apa-apa pengetahuan yang mereka ada akan terlebur dek kerana prasangka antara kaum yang tak berkesudahan.

Ketika ini, masyarakat kita telah mengidap penyakit jiwa dan mental. Sedangkan mereka (ahli politik) yang telah menang itu, akan terus dengan nikmat kebendaan dan kuasa yang disalahgunakan setiap masa.
Akhir kepada barah ini, pastilah kebinasaan kepada seluruh rakyat dan negara.
Istiqamah melawan perkauman

Melihat kepada lakaran kesudahan politik perkauman ini, ia agak menakutkan kita yang waras ini. Namun, DAP dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan terus istiqamah dalam perjuangan menerusi politik baru yang sihat dan waras.

PR sebagai suara rakyat tidak menentang UMNO hanya kerana namanya UMNO, sebaliknya PR akan menang kerana dasarnya yang adil dan praktikal serta merangkumi semua kaum dan agama akan diterima oleh rakyat.

Jika kita ingin kotakan apa yang kita kata, pastinya untuk kemenangan itu, kita akan pilih jalan dan cara yang bersih. Jika kita kalah sekalipun, kita tidak merosakkan minda anak bangsa kita. kemenangan moral tetap ada.

No comments: