Kes peruntukan khas parlimen: Keputusan ditangguh

Jamilah Kamarudin | August 14, 2012
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen dan hujah.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan sama ada mahu membenarkan permohonan rayuan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj untuk mendapatkan semakan kehakiman dalam kes pemberian peruntukan dana khas bagi kawasannya yang sebelum ini ditolak Mahkamah Rayuan.
Panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen dan hujah sebelum membuat penghakiman bertulis memandangkan  kes pertama dalam sejarah penghakiman negara.
Sehubungan itu pihaknya akan menetapkan keputusan itu pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Empat panel lain adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dan Datuk Ahmad Maarop.
Peguam mewakili Jeyakumar, Datuk S Ambiga dalam hujahnya berkata, kes ini perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana melibatkan kepentingan awam untuk tahu mengapa dana khas diperuntukkan di setiap kawasan Parlimen secara berbeza mengikut parti politik.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Jabatan Pembangunan Perak yang sebelum ini mendakwa telah meyalurkan dana kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah anak Yatim Nurul Ihsan namun selepas membuat pemeriksaan pihak penerima sehingga kini masih tidak mendapat sebarang peruntukan.
Sementara itu Jeyakumar ketika ditemui berkata, beliau kesal dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bersikap pilih bulu memberikan peruntukan secara berbeza kepada kawasan parlimen yang diwakili BN dan Pembangkang, sedangkan sumber dana itu adalah wang rakyat.
“Sistem kehakiman belum bebas kerana mereka masih dicengkam kuasa pentadbiran BN,” katanya kepada pemberita diluar mahkamah di sini hari ini.
Prosiding semakan
Pada 29 Oktober 2010, Jeyakumar memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan satu prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pengarah Pejabat Kemajuan Perak yang menolak permohonannya mendapatkan dana untuk digunakan sebagai sumbangan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah anak Yatim Nurul Ihsan serta dana bagi projek kecil untuk faedah kampung-kampung Orang Asli.
Beliau memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dibekal dan disediakan kepada semua ahli Parlimen secara saksama, mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Jabatan Pembangunan Perak dan kerajaan dinamakan sebagai responden
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Februari tahun lalu, memberi kebenaran kepada Jeyakumar untuk mencabar keputusan kerajaan yang didakwa gagal memberi peruntukan tersebut.
Namun pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memutuskan Jeyakumar tidak boleh mencabar keputusan kerajaan selepas membenarkan rayuan responden untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman.
Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu kemudiannya mendapat kebenaran mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac lalu.

No comments: