Polis siasat Saifuddin atas dakwaan kait SPR-Umno



 
Ketua biro perundangan PKR Latheefa Koya berkata setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution kini disiasat polis kerana menimbulkan dakwaan bahawa timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar merupakan anggota Umno.

Latheefa berkata Saifuffin disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas dakwaan fitnah jenayah. Saifuddin berdepan hukuman dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

Saifuddin diberitahu mengenai perkara itu apabila tiba di ibu pejabat polis Putrajaya untuk dirakam kenyataan.

Latheefa yang menemani Saifuddin ke balai polis berkenaan sebagai peguam hari ini mendakwa pihak berkuasa cuba menganiaya MP berkenaan dengan dakwaan tersebut.

"Wan Ahmad boleh saman Saifuddin jika dia mahu berbuat demikian," kata Latheefa ketika dihubungi.

Akhbar Sinar Harian pada 26 April lalu menerbitkan laporan muka depan yang memetik dakwaan Saifuddin ke atas Wan Ahmad dan juga pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Abdul Aziz menafikan dakwaan tersebut tetapi Wan Ahmad mengakui bahawa beliau merupakan anggota Umno – dan menafikan perkara itu enam hari kemudian.

Wan Ahmad membuat laporan polis ke atas Saifuddin pada Mei.

No comments: