Biar pihak berkuasa siasat Suaram tapi siapa yang mengarah pihak berkuasa

September 22, 2012
Perdana Menteri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan penyaluran dana asing kepada NGO itu.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan penyaluran dana asing kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram). “Biar pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa berkaitan siasat (perkara itu),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pudu Sentral di sini, hari ini.
Sebelum ini, siasatan awal SSM mendapati wujud transaksi dana antara Suaram dan Suara Inisiatif Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Suaram yang mendakwa mereka sebagai sebuah badan bukan kerajaan didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan Arab Saudi menolak permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia, Najib berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan negara itu untuk membuat keputusan.
Lebih banyak kita tak cakap, adalah lebih baik. Keputusan bukan di tangan kita,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memaklumkan bahawa Malaysia termasuk dalam senarai 40 negara yang tidak mendapat tambahan kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi tahun ini.
Malaysia memohon penambahan kuota sebanyak 10,000 memandangkan jumlah yang menunggu giliran untuk menunaikan ibadat haji kini mencecah 982,000 orang.

Ekspedisi Selat Inggeris
Sementara itu, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga dengan kejayaan pasukan ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) yang menamatkan ekspedisi merentasi Selat Inggeris semalam.
Beliau berkata kejayaan itu juga adalah pencapaian yang besar kepada negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya.
“Saya amat berbangga mereka dapat berenang dan merentasi Selat Inggeris yang bukan mudah kerana ianya ‘mengganas’ dan banyak rintangan terpaksa dilalui.
“Saya juga bangga kerana ada sebilangan rakyat yang begitu cekal, berani dan mempunyai semangat Malaysia Boleh,” katanya.
Dua pasukan perenang ATM, terdiri daripada perenang solo dan berganti-ganti menamatkan cabaran menawan Selat Inggeris semalam selepas ditangguhkan berikutan angin kencang dengan keadaan laut bergelora.
Perenang solo, Estino Taniyu, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah muncul perenang kedua dari Malaysia menakluk Selat Inggeris bagi kategori tanpa sangkar selepas Lennard Lee pada tahun 2004. Estino menamatkan renangan dalam masa 13 jam 45 minit dan 45 saat.
Pasukan renang kategori berganti-ganti terdiri daripada enam perenang pula menamatkan misi merentas Selat Inggeris dalam masa 14 jam 30 minit.
Pasukan renang itu terdiri daripada Mohd Roslan Mohd Zawawi, Mohd Khairul Faizal Mazli, Mohd Salleh Mahmor, Buranurdin Sali, Sharizal Omar dan Mohd Zulfadhli Mahamad.
Ekspedisi itu adalah di bawah tajaan Eksplorasi 7 Benua Malaysia dan naungan Perdana Menteri.
- Bernama

No comments: