Bukti Baru Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil Boleh Disiasat Di Bawah Anti Money Laundering Act (AMLA)

Mampukah kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap Shahrizat & keluarga?

Berita penutupan restoran-restoran yang dikendalikan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura memberi ruang kepada saya untuk meneliti kembali beberapa urusniaga dan transaksi (transaction) yang melibatkan dana rakyat yang disalurkan melalui NFC.
 
Walaupun berita penutupan itu perlu disambut dengan rasa lega, ia tidak bermakna bahawa penyelewengan dana rakyat RM250 juta boleh disembunyikan.
Saya ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mempunyai 3 syarikat utama yang beroperasi di Singapura melalui sokongan dana RM250 juta NFC, iaitu:
1. Meatworks Singapore Pte Ltd yang mengendalikan restoran-restoran mewah
2. Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang mengendalikan pasaraya
3. Global Biofuture Pte Ltd yang mengendalikan urusan pembelian dan jualan pukal (trading)
Setakat ini, siasatan dan pendedahan KEADILAN banyak bertumpu kepada Meatworks Singapore Pte Ltd dan Farmhouse Supermarkets Pte Ltd sehingga menyebabkan operasi yang dikendalikan kedua-dua syarikat ini terpaksa ditutup.
KEADILAN kini mengalihkan pula tumpuan kami terhadap syarikat Global Biofuture Pte Ltd untuk memastikan operasinya juga disiasat dan segala pemindahan wang dari dana awam RM250 juta dihentikan serta merta.
Hari ini, KEADILAn tampilkan satu contoh transaksi yang melibatkan syarikat-syarikat yang dikawal oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Malaysia dan Singapura yang disyaki melakukan pemindahan wang yang bertentangan dengan mandat dan tujuan NFC.
Pemindahan wang sebegini perlu disiasat di bawah Anti Money Laundering Act (AMLA) yang menetapkan bahawa Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat sebarang transaksi yang disyaki, sama ada disyaki sumber kewangannya atau disyaki tujuan pemindahan wang dibuat.
Saya sertakan 3 dokumen seperti berikut:
1. Email dari Donna Yong, kakitangan Meatworks Singapore yang bertanggungjawab terhadap operasi syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura bertarikh 25 Oktober 2010 kepada Jabatan Kewangan NFC dan disalinkan kepada ketiga-tiga anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
2. Borang permohonan penyediaan cek oleh National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC) yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil agar satu bayaran berjumlah US$990,402 (bersamaan hampir RM3 juta) dibuat kepada sebuah akaun bank di Singapura.
3. Invoice bernombor V14/10 dari South East Asian Livestock Services Pty Ltd berpusat di Darwin berjumlah US$990,402 kepada Global Biofuture Pte Ltd berpusat di Singapura yang dimiliki dan dikawal oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
Dokumen-dokumen ini mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Pembelian lembu dari luar negara dibuat melalui sebuah syarikat broker Global Biofuture Pte Ltd yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
2. Pembelian lembu berjumlah jutaan ringgit ini dibayar pula oleh syarikat NMLC yang menggunakan wang rakyat yang diberikan kepada NFC, sedangkan pembelian lembu-lembu tersebut dibuat oleh Global Biofuture Pte Ltd yang langsung tiada kena mengena dengan NMLC dan NFC.
Ini bermakna wang NFC telah dipindahkan secara haram melalui NMLC kepada Global Biofuture Pte Ltd yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil. Transaksi ini sepatutnya disiasat serta merta oleh Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa memandangkan ia berkemungkinan melanggar Anti Money Laundering Act (AMLA), apatah lagi ia membabitkan penyelewengan wang rakyat.
Pada masa yang sama, kehadiran Global Biofuture Pte Ltd sebagai orang tengah dalam pembelian lembu ini pada harga yang tinggi menimbulkan persoalan:
Apakah keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mengambil untung dua kali dalam pembelian lembu-lembu dari luar negara yang dibekalkan kepada NFC?
Apakah Global Biofuture Pte Ltd makan untung atas angin dengan mengenakan margin apabila ia menjual pula lembu-lembu tersebut kepada NFC?
Kenapakah NFC tidak boleh membeli terus lembu-lembu tersebut dari pembekal tanpa melalui orang tengah yang kebetulannya pula dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil?
KEADILAN merasakan bukti baru ini adalah mencukupi agar Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa menyiasat keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil atas kemungkinan melanggar Anti Money Laundering Act (AMLA).
Satu laporan baru akan dibuat pada hari Khamis ini untuk memastikan siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa secepat mungkin.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
11 SEPTEMBER 2012

No comments: