Anggota keluarga mendiang D Dinesh - lelaki yang maut dalam insiden tembakan di Ampang pada bulan lalu - berkeras supaya polis menyiasat kes berkenaan sebagai kes bunuh dan mengambil tindakan ke atas anggota pasukan tersebut yang didakwa terlibat.

NONEPeguam, N Surendran berkata, ahli keluarga itu bimbang inkues ke atas kes kematian tersebut akan hanya menutup kejadian sebenar yang berlaku dalam kes tersebut.

Mereka sebaliknya mahu supaya anggota polis yang didakwa melepaskan tembakan itu digantung kerja dan juga dikenakan pendakwaan jenayah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dakwaan membunuh, katanya.

Tuntutan itu juga terkandung dalam satu memorandum yang diserahkan bapa mendiang, Darmasena Wijemana kepada penolong ketua urusetia perhubungan awam polis Ramli Mohamed Yoosuf hari ini.

Dalam pertemuan itu, Ramli turut memberi penjelasan kepada anggota keluarga mendiang bahawa polis siasatan dalam kes berkenaan telah selesai dan kertas siasatan tersebut diserahkan ke pejabat Peguam Negara.

NONERamli juga memberitahu wakil keluarga berkenaan bahawa satu inkues ke atas kematian Dinesh akan dijalankan.

Ramli menyatakan demikian kepada enam orang anggota keluarga Dinesh yang hadir, selepas individu berkenaan berkeras untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai lebih tinggi.

Dalam sidang media selepas itu, Surendran berkata keluarga berkenana menolak penjelasan tersebut memandangkan inkues akan hanya dijalankan sekiranya sebab sesuatu kejadian itu tidak dapat dipastikan.

"Dalam kes seperti ini jelas ada (unsur) pembunuhan, boleh dilakukan dakwaan di mahkamah terbuka, bukannya inkues. Dakwa anggota polis yang terlibat kerana membunuh.

"Inkues ini adalah untuk menutup kes ini... Keluarga menolak permohonan inkues daripada pihak berkuasa. Keluarga mahu mereka (polis) didakwa di mahkamah," katanya yang menggesa ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar menjelaskan insiden berkenaan.

NONESeorang lagi peguam, Latheefa Koya turut mempersoalkan penjelasan Ramli itu dengan menyifatkannya sebagai "palsu dan satu penipuan" sedangkan kes ini masih lagi dalam siasatan.

"Kita tidak perlu membuang masa untuk mencari bagaimana dia mati, tetapi kita mahu mengetahui kenapa dia mati dan kenapa anggota polis tidak disiasat dalam perkara ini," katanya.

Turut hadir bersama keluarga Dinesh untuk menyerahkan memorandum itu ialah tiga MP PKR iaitu R Sivarasa (Subang), Tian Chua (Batu) dan S Manickavasagam (Kapar).

Saksi dalam kejadian pada awal pagi 21 Ogos itu mendakwa D Dinesh, 26,  ditembak anggota polis dalam satu kejadian berhampiran Ampang Waterfront.

Saksi mendakwa melihat Dinesh keluar daripada kenderaannya berhampiran satu lampu isyarat selepas dihalang oleh dua kenderaan yang tidak bertanda dan kemudiannya melihat lelaki itu ditembak.
VIDEO | 6.43 min