Muhyiddin mungkir janji bina sekolah Tamil

IPOH- Sehingga hari ini wang yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pembinaan bangunan baru SJKT Gunung Rapat masih belum sampai lagi.
“Adakah beliau membuat janji kosong semata-mata untuk meraih sokongan dan undi masyarakat India?” tanya Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau berkata, Muhyiddin telah menjanjikan RM2.5juta untuk pembinaan bangunan baru SJKT Gunung Rapat pada November 2011 sewaktu berucap di Progaram Pesta Deepavali di Little India, Jalan Lahat, Ipoh.
Katanya, ucapan itu dibuat di hadapan ribuan orang India yang datang ke pesta itu.
Ekoran itu, beliau yang juga Adun Tronoh telah membawa isu itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, baru-baru ini.
“Saya memberitahu dewan yang mulia bahawa tapak baru diluluskan oleh kerajaan negeri di Ampang pada bulan Mei 2012.
“Datuk Hamidah Osman, Adun Sungai Rapat dan Datuk Veerasingam, Penasihat kepada Menteri Besar Perak telah menyerahkan dokumen geran tanah itu kepada pihak sekolah dan PIBG,” jelasnya.
Menurutnya, dalam majlis penyerahan kelulusan tanah itu, Hamidah menjanjikan bahawa kerja-kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh 3 bulan dan bangunan baru itu akan siap bina selepas 1 tahun.
Tetapi, ujarnya sekarang sudah 7 bulan tetapi tidak ada apa-apa perkembangan tentang bangunan baru untuk sekolah tersebut.
Beliau menambah, Barisan Nasional telah menipu masyarakat India selama lebih 50 tahun dan masih meneruskan usaha-usaha itu dengan mempermainkan perasaan hati mereka.
“Saya terpaksa bertikam lidah dengan Datuk Hamidah Osman dalam persidangan Dewan negeri kali ini. Beliau mendakwa bahawa beliaulah yang
telah berusaha untuk mendapatkan tanah untuk SJKT Gunung Rapat.
“Saya menegaskan dalam dewan yang mulia bahawa SJKT Gunung Rapat mendapat tanah di Ampang atas usaha dan perjuangan Pakatan Rakyat,” tegasnya.
-Harakahdaily

No comments: