Kerajaan Selangor Berusaha Selesaikan Gangguan Air Dalam Seminggu

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor akan bekerja keras bagi memastikan bekalan air yang terjejas di Cheras, Gombak dan Ampang akan disambungkan dalam tempoh seminggu.

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemantau Bekalan Air Selangor sudah mengadakan mesyuarat harian bersama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi menyelesaikan masalah gangguan itu.

Walaupun gangguan itu adalah kegagalan Syabas dalam melaksanakan tanggungjawabnya, namun Kerajaan Negeri akan tetap membantunya menyelesaikan masalah yang telah berlangsung selama hampir dua minggu.

“Kita tahu semua pergerakkan Syabas. Kita akan selesaikan masalah pam air Wangsa Maju ini dalam satu minggu,” kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Exco pafa 9 Januari.

“Ini lah komitmen Kerajaan Selangor kepada rakyat,” kata Abdul Khalid.
Mengikut perjanjian dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Syabas bertanggungjawab bagi pengedaran air terawat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Gangguan bekalan tersebut berlaku setelah lima pam air di rumah pam di Wangsa Maju rosak dan gagal berfungsi hampir dua minggu lalu.
Sebelum ini, Abdul Khalid berkata gangguan itu boleh dielak sekiranya Syabas menyelenggara pam di rumah pam sejak dari awal tahun lepas dan bukan apabila berlaku gangguan bekalan air.

Manakala dalam kenyataan 9 Januari, Abdul Khalid berkata sebab-sebab yang diberikan oleh Syabas mengapa pam air Wangsa Maju gagal berfungsi tidak boleh diterima.

Rumusan tersebut dicapai setelah Kerajaan Negeri memanggil semua pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah pam tersebut termasuk jurutera, pereka dan kontraktor.

Siasatan mendapati Syabas gagal menyelenggara dengan baik sistem VSD yang digunakan di dalam operasi pam-pam itu.

“Kerajaan Negeri mendapati dakwaan Syabas bahawa alat gantian yang terlibat perlu diimpot dari Finland tidak benar kerana pembekal mengesahkan bahawa alat itu boleh didapati daripada China dengan perkhidmatan courier”.
Abdul Khalid juga menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pengambilaliah industri air oleh Kerajaan Selangor bagi mengelakkan masalah seperti ini berulang.

“Kita menggangap masalah gangguan air ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia membuktikan kegagalan projek penswastaan air yang diberi kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten.”
-selatanonline-

No comments: