Tuntut jalan bertar sejak 10 tahun tidak diendah oleh BN

January 25, 2013
Itulah keluhan 17 penghuni daripada empat keluarga ini yang menuntut kemudahan infrastruktur asas itu.
SEREMBAN: Permohonan empat keluarga dari Kampung Tebing Tinggi, Batu 9, Labu sejak 10 tahun; untuk mendapatkan jalan bertar tidak diendahkan oleh pihak berkenaan.
Itulah keluhan 17 penghuni daripada empat keluarga ini yang menuntut kemudahan infrastruktur asas itu sejak 10 tahun.
Rohaizat Abu Zahrin, 52, berkata keadaan jalan yang tidak berturap itu sangat memberi kesan kepada keluarga yang tinggal di kawasan ini.
“Keadaan bertambah teruk apabila musim hujan, di mana jalan masuk ke kawasan rumah ini dipenuhi dengan air bertakung.
“Memburukkan keadaan apabila jalan tanah ini berlecak menyebabkan motosikal dan juga basikal anak-anak saya yang hendak pergi ke sekolah menjadi kotor.
“Kasut sekolah anak-anak saya juga kotor dan berlumpur.
“Permohonan untuk menurap jalan ini sudah banyak kali dibuat, sama ada melalui ketua kampung mahu pun wakil rakyat di kawasan ini namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan.
“Setiap kali saya bertanyakan mengenai masalah ini jawapan yang diberikan adalah sama iaitu masih dalam proses,” kata Rohaizat.
Rohaizat berkata beliau seperti sudah putus asa apabila pihak berkenaan sentiasa memberikan jawaban yang sama.
“Pernah sekali ada beberapa pegawai termasuklah wakil rakyat datang meninjau kawasan ini, namun ianya hanya sekadar lawatan sahaja kerana tiada sebarang perubahan yang dilakukan selepas itu,”katanya.
Norsyazleen Anuar, 26, berkata sejak dia kecil, membesar di kampung ini, berkahwin dan sehinggalah mempunyai tiga orang anak, keadaan jalan masuk ke rumahnya ini tidak pernah dinaiktaraf.
`Tiada perubahan’
“Keadaan di kampung ini sama sahaja dari dulu sampai sekarang, tiada sebarang perubahan dilakukan.
“Keadaan jalan bertanah seperti ini sudah menjadi kebiasaan bagi kami, kerana sejak dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah.
“Sesekali mahu juga merasa hidup selesa dengan keadaan depan rumah yang bersih dan tidak dipenuhi becak (berlumpur) apabila hari hujan.
“Anak-anak pula sering merungut apabila baju sekolah dan kasut sekolah mereka kotor akibat terkena percikan air tanah (becak) sewaktu hendak ke sekolah,” keluh Norsyazleen.
Norsyazleen berkata, bagi memudahkan pergerakkan, anak-anaknya terpaksa meniti di kayu papan yang dibuat sendiri bagi mengelakkan terkena air bertakung di kawasan yang tidak berturap itu.
Pengarah Kebajikan PKR DUN Labu, Mohd Ibrahim Abdul Rahman berkata setiap rakyat berhak mendapatkan kemudahan asas seperti jalan berturap tar.
“Jangan dikaitkan dengan pegangan politik seseorang dalam soal kebajikan seperti ini.
“Semua orang berhak hidup selesa dan mendapatkan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
“Oleh yang demikian, saya mengesa supaya pihak berkaitan dapat memberi keutamaan dan memberi perhatian dengan  masalah ini demi kepentingan bersama,” katanya.
Sementara itu Adun Labu, Datuk Hasim Rusdi menjelaskan bahawa pihaknya telah maklum dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan ini.
“Tanah tersebut perlulah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah asal yang membenarkan agar kawasan tersebut ditar.
“Melalui konsep baru dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar  dan Wilayah, mensyaratkan supaya sebarang permohonan untuk menurap jalan, perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pemilik tanah asal yang sah.
“Saya tidak pasti sama ada mereka telah kemukakan surat tersebut atau tidak, namun saya akan melihat semula perkara ini bagi memastikan kepentingan empat keluarga ini terjawab, kerana kita bimbang tanah tersebut mempunyai masalah lain.
“Malah sepanjang jalan masuk ke kampung ini, telah pun saya turap dengan baik, ianya tidak mempunyai sebarang masalah,“ kata Hasim.

No comments: