Pages

Janji Anwar















1. Turunkan Harga Minyak
Alihkan keuntungan untuk kurang beban rakyat
PILIHANRAYA kali ini sudah pastinya adalah pilihanraya harga minyak. Sekiranya BN menang dengan majoriti besar, pasti mereka akan naikkan harga minyak. Harga minyak yang tinggi membebankan rakyat. Harga minyak yang tinggi menyebabkan barang keperluan menjadi lebih mahal, makanan menjadi lebih mahal, perkhidmatan jadi lebih mahal dan kos pengangkutan jadi lebih mahal.

Sebagai pengeluar minyak, kerajaan mengaut keuntungan besar apabila harga bahan bakar melonjak di pasaran dunia.

Tetapi kerajaan membazirkan sumber pendapatan ini untuk membiaya projek-projek mega, untuk rasuah, dan untuk projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat.

Kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat tidak susah dan tidak dibebani kos kehidupan mahal. Kerajaan KeADILan mampu kurangkan beban rakyat dengan tidak mengenakan harga minyak yang tinggi. Keuntungan Petronas akan diguna untuk subsidi bagi mengimbangi harga runcit Petrol. Kita alihkan sebahagian dari keuntungan minyak untuk membantu kurangkan beban rakyat.

2. Pendidikan Percuma dan Bermutu
Pelajaran dalam Bahasa Melayu, bahasa ibunda
MANFAAT dari pendidikan percuma amat besar. Pendidikan percuma akan menaikkan taraf daya saing rakyat.

Dengan pendidikan percuma, semua rakyat berpeluang untuk belajar dan memantapkan diri dengan ilmu sebaik mungkin.

Tetapi taraf pendidikan kita hari ini semakin menurun kerana kerajaan tidak memperuntukkan sumber yang mencukupi. Urus tadbir yang lemah juga menyebabkan kualiti pendidikan terus corot.

Dasar pendidikan negara akan kita tukar. Kita akan tukar semula pengajaran sains dan matematik ke bahasa Melayu, dan bahasa aliran ibunda bagi memudahkan pembelajaran anak-anak di sekolah.

Kita bagi hak sama rata dan peruntukan yang adil kepada semua sekolah. Kerajaan KeADILan komited kepada menambahbaik kecekapan tenaga pengajar.

Tidak kira apa aliran sekolah itu - sekolah agama, sekolah Cina atau sekolah Tamil - kita tidak mendiskriminasi mana-mana pihak.

Tetapi KeADILan tegaskan pendidikan nasional iaitu sekolah-sekolah kebangsaan diberi keutamaan. Sekolah kebangsaan dan mutu pembelajaran dijadikan lebih kukuh, dan ditambahbaik kerana sekolah kebangsaan menampung jumlah murid paling besar.

KeADILan akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Ini adalah satu akta yang menyekat pemikiran pelajar dan skop penyelidikan di universiti. Hari ini, pentadbiran universiti dikongkong kuasa politik. KeADILan percaya perlantikan pegawai-pegawai kanan universiti harus berdasarkan keupayaan.

3. Menjamin Keadilan Sosial untuk Semua
Layanan sama rata untuk semua golongan

KEBAJIKAN rakyat menjadi keutamaan KeADILan. Keadilan sosial meliputi kebajikan dan penambahbaikan dari segi keselamatan dan khidmat kesihatan untuk rakyat, dan bukan sahaja dari segi hak asasi manusia.

Pengagihan kekayaan negara hari ini tidak adil. KeADILan prihatin dengan nasib golongan termiskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, anak-anak muda, pekerja estet dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari semua kaum dan semua agama. Gaji minima RM1500 untuk semua pekerja. Ini adalah jaminan kami mereka tidak didiskriminasi oleh masyarakat.

Muda belia yang berminat untuk memajukan diri diberi galakan. Ramai muda belia hari ini mahu menjadi usahawan, mempunyai insentif yang tinggi tetapi kurang modal. Kerana tidak ada connection, mereka tidak berpeluang untuk mengubah kehidupan mereka.

4. Menjamin Kebebasan Institusi Kehakiman
Bebaskan mahkamah dari politik

KeADILan mahu membebaskan mahkamah dari kawalan politik. Perlantikan dan kenaikan pangkat hakim juga akan dibuat dengan melalui proses suruhanjaya yang lebih telus dan cermat.
Demokrasi bukan sahaja mengenai pilihanraya setiap lima tahun.

Dengan kemenangan pilihanraya, se-mua agensi dan sumber kerajaan di-kuasai dan digunakan bagi mengu-kuhkan kedudukan parti pemerintah.

Oleh itu, kita perlukan kuasa pengimbang atau check & balance. Tunggak check & balance ialah badan kehakiman. Kehakiman harus bebas dari politik dan boleh mentafsir dan melaksanakan undang-undang dengan bebas.

Tanpa kuasa pengimbang, pemimpin-pemimpin politik dan orang-orang mereka boleh melanggar undang-undang dan bebas dari dihukum.

5. Menstruktur semula Institusi Polis
Pasukan yang profesional, bebas politik

PARTI KeADILan meletakkan keselamatan rakyat sebagai keutamaan. Insitusi polis akan dibersihkan dan dimantapkan.

Dengan tanggungjawab yang lebih diberikan kepada pihak polis, hal ehwal anggotanya juga tidak dilupakan - gaji yang lebih baik, persekitaran kerja yang lebih selamat, dengan kebajikan kakitangan yang lebih muna-sabah - semua ini adalah dalam satu pakej khas KeADILan kepada anggota-anggota polis yang mendedahkan diri mereka kepada risiko demi keselamatan kita semua.

Polis seperti yang kita tahu sekarang ini tidak cekap, rasuah dan tidak telus.

Polis adalah agensi yang bertanggungjawab menjaga setiap individu dan warganegara selamat dari jenayah, tetapi hari ini jenayah semakin menjadi-jadi.

Pada 2004, Abdullah Ahmad Badawi tubuhkan suruhanjaya untuk melibat bagaimana untuk merombak semula polis. Tetapi sehingga hari ini tidak nampak apa-apa perubahan. Polis masih tidak cekap, masih rasuah dan jenayah masih menjadi-jadi.

Ini harus diubah. Tenaga polis harus difokuskan untuk membanteras jenayah dari segenap sudut.

Hari ini, hampir separuh anggota polis terlibat secara tidak langsung dalam pembasmian jenayah, tetapi tertumpu kepada kerja-kerja politik.

Cawangan Khas (SB) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diperalatkan untuk kepentingan politik.

Antara cadangan suruhanjaya adalah penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), badan bebas yang menyiasat rasuah dan salahlaku polis serta menjamin profesionalisma polis. Tetapi sehingga ke hari ini IPCMC belum ditubuhkan. Sekiranya KeADILan menang, penubuhan IPCMC adalah pasti.

No comments:

Post a Comment