Pages

Gempar, polis kunjungi Anwar, sms tersebar Anwar bakal ditahan? (Malay Language)

SHAH ALAM 29 Jun: Gempar seketika pagi tadi apabila ramai anggota polis mengunjungi sebuah hotel terkemuka di Shah Alam ketika Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berada di hotel tersebut. Para petugas media dan penyokong Anwar gempar seketika tatkala kereta peronda polis muncul di depan pintu utama hotel tersebut kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

Para wartawan telah mula berkampung di sini sejak semalam berikutan tersebarnya laporan mengenai kemungkinan penahanan Ketua Umum KeADILan itu.

Kelihatan seorang wakil Anwar bercakap dengan anggota polis tersebut dan kemudian kereta peronda tersebut beredar dari situ..

Sejak semalam, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa Anwar akan ditahan ekoran satu laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Laporan tersebut dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa telah diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Sumber KeADILan mengatakan bahawa polis telah menahan pembantu khas Anwar semalam dan memaksanya membuat laporan polis yang dia diliwat oleh Anwar.

Sementara Saiful Bukhari dikatakan sedang memberi keterangan di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam laporan tersebut dan mendakwanya ianya merupakan satu rekaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk 'menyerangnya' sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salah laku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.

Anwar dijangka membuat laporan polis berhubung bukti-bukti yang diperolehinya itu hari ini.

Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perkara itu tetapi tidak diketahui bila dan di mana laporan itu akan dibuat.

Dalam kenyataannya pagi tadi, Wan Azizah berkata, Saiful merupakan seorang sukarelawan yang tampil membantu KeADILan, sewaktu pilihan raya umum lalu.

Ekoran itu, katanya, mereka tidak membuat sebarang semakan latar belakang pengadu.

Mengenai laporan tersebut, beliau berkata, ia bertujuan untuk mencemarkan masa depan politik Anwar.

Menurut Wan Azizah perkara yang sama berlaku sepertimana 10 tahun yang dulu.

Anwar, bekas TPM dan Menteri Kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dalam perbuatan liwat.

Pada 1999, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada tahun 2000, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.

Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan membebaskan Anwar.

Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi kerajaan menafikannya.

Kini menurut Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin, beliau sedang mengusahakan untuk menguruskan ahli keluarga Anwar dan akan berpindah dari hotel tersebut ke suatu lokasi lain.

Beliau yang menghubungi Harakahdaily menyatakan bahawa perkembangan itu mengejutkan ramai pihak dan beliau meminta semua pihak bertenang sementara perkembangan terkini dimaklumkan kemudian.

Namun setakat ini tiada tangkapan mahupun kenyataan daripada pihak polis dibuat berhubung isu tersebut. _

Harakah

No comments:

Post a Comment