Pages

PM dinasihat jangan campur tangan urusan polis (malay language)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dinasihatkan agar tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan polis kerana ia boleh menyebabkan timbulnya banyak kerenah birokrasi.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, campur tangan Abdullah dalam urusan siasatan membabitkan penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, itu juga boleh menjadi gelak ketawa rakyat.

"Kenapa Abdullah perlu campur tangan? Beliau tidak sepatutnya campur tangan, yang kemudiannya akan mengakibatkan semakin banyak karenah birokrasi yang timbul dalam siasatan tersebut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdullah yang menyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim, semalam.

"Apakah ada jaminan bahawa Musa dan Gani tidak akan terlibat atau campur tangan dalam siasatan tersebut, sedangkan itu sememangnya sudah tugas mereka? Tolonglah, jangan campur tangan dalam hal ini. Jangan biarkan kenyataan ini jadi bahan ketawa rakyat," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pemuda PAS sudah selangkah lebih kehadapan berbanding Pemangku Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkenaan penubuhan badan bebas bagi kes Anwar.

Menurut Salahuddin, Pemuda PAS sudah terlebih dahulu menghantar memorandum ke Istana Negara, minggu lepas bagi mendesak agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi membantu siasatan kes ini, selain memastikan ia (siasatan) dapat dijalankan dengan lebih telus dan terbuka.

Dalam pada itu, beliau mendesak supaya Musa dan Gani disiasat segera berhubung laporan polis yang dibuat Anwar, yang mendakwa kedua-dua (Musa dan Gani) terlibat dalam pemalsuan bukti dalam kes mantan Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998-1999.

"Sekiranya Anwar boleh disiasat apabila bekas pembantunya membuat laporan polis, mengapa (siasatan) tidak dilakukan terhadap Gani dan Musa, yang juga ada laporan polis terhadap mereka? Kita harap, pihak polis jangan bersikap 'double standard' dalam hal ini," tegas beliau.

Malah, beliau turut mengingatkan kerajaan dan pihak polis agar tidak melakukan sebarang 'pendakwaan terpilih' dalam sesuatu laporan polis yang dibuat melibatkan tokoh-tokoh negara.

Anis Nazri
Harakah Daily
20/07/08

No comments:

Post a Comment