Pages

Anwar Ibrahim: Dasar yang Konsisten dan Jelas

Pakatan Rakyat sentiasa konsisten dan komited di dalam merangka sebarang dasar mahupun program yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat. Kita malah berulang kali menegaskan pentingnya harga minyak diturunkan agar rakyat tidak dibebani dengan kadar inflasi yang tinggi sekaligus mengakibatkan kerencatan ekonomi negara.

Kita sedar harga minyak global akan turun, dan sering saya utarakan ‘Teori Yergin’ sepanjang syarahan dan ceramah saya berhubung dasar Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak. Berlakunya penurunan harga minyak global memungkinkan kita untuk menurunkan lagi harga minyak dari 50sen ke 70sen. Oleh itu ingin saya tegaskan semula bahawa ‘Hari Ini Pakatan Rakyat Memerintah Esok Harga Minyak Turun Sebanyak 70sen’ menjadikan harga minyak hanya RM 2.00 seliter.

Saya sendiri di dalam debat ‘Hari Ini Pakatan Rakyat Memerintah Harga Minyak Turun’ pada 15 Julai lalu menjelaskan mekanisme untuk menurunkan harga minyak tersebut. Kita menggariskan beberapa langkah yang sememangnya penting untuk memastikan penurunan harga minyak.

Langkah langkah penurunan harga minyak yang telah saya bentangkan antaranya:
-1- RM 2 billion diperolehi dari penjimatan melalui pengurangan kapasiti simpanan tenaga yang disediakan oleh Penjana Kuasa Bebas (IPP) dengan mengurangkan kapasiti lebihan tenaga elektrik TNB dari 40% ke 20%. “Reserve capacity”40% agak tinggi memandangkan negara maju pun mengekalkannya pada tahap 20%. Kita mendapat maklumat bahawa TNB mempunyai“kapasiti lebihan”yang melebihi 1000 MegaWatt. Ini adalah keupayaan simpanan menjana elektrik yang digunakan semasa kecemasan. Ia boleh kita turunkan ketahap yang munasabah dan ianya akan menjimatkan kos kepada TNB. Penjimatan kos TNB ini memungkinkan kita menyemak kembali tarif elektrik. Ini menggalakkan pertumbuhan ekonomi industri kecil dan sederhana.

2- RM 1 billion dengan merunding semula terma-terma perjanjian dengan syarikat-syarikat Penjana Kuasa Bebas(IPP). IPP yang dipunyai oleh syarikat-syarikat kroni pemerintah UMNO sekarang mendapat keuntungan berlebihan. Mengikut perjanjian yang dibuat di antara kerajaan Barisan Nasional dengan syarikat-syarikat Penjana Kuasa Bebas ini subsidi bahan bakar yang diberikan membuatkan syarikat -syarikat ini mendapat keuntungan yang lumayan sedangkan harga minyak petrol rakyat jelata dinaikkan. Subsidi gas yang diberikan kepada syarikat penjana kuasa bebas berjumlah RM 8.1 billion. Kita yakin jika ini dirunding semula dan subsidi gas untuk IPP dipindahkan kepada subsidi minyak petrol untuk rakyat jelata, kita akan dapat mengurangkan harga minyak petrol sebanyak 70 sen yang hanya memerlukan subsidi tambahan sebanyak RM5 bilion.

3- RM 1 billion lagi kita dapatkan dari sebahagian royalti minyak dan dividen lain yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan. Dividen dan royalti ini boleh digunakan untuk membiayai subsidi tambahan RM 5 bilion. Keuntungan Petronas tahun ini berjumlah RM 95.5 billion kerana harga minyak global yang melambung, Anggaran menunjukkan bahawa tambahan USD1 bagi satu tong minyak menambahkan RM 300 juta lebih kepada pendapatan kerajaan. Kita boleh menggunakan sebahagian dari bayaran yang dibuat oleh Petronas kepada kerajaan untuk dapatkan RM 1 billion ini.

4- RM 1 billion terakhir bagi mencukupi RM 5 billion yang kita perlukan untuk menurunkan harga minyak petrol sebanyak 70sen ialah melalui pengurusan ekonomi yang cekap, meyakinkan, telus dan tiada lagi rasuah serta korupsi. Syarikat kewangan antarabangsa Morgan Stanley menganggarkan negara kita kerugian dan ketirisan sebanyak RM 16.5 billion setahun selama 20 tahun. Ini menjadikan jumlah keseluruhan akibat ketirisan dan korupsi di Malaysia ialah RM 330 billion. Dengan memastikan tiada lagi korupsi kita yakin adalah tidak mustahil untuk mendapatkan RM 1 billion tersebut.

Saya menegaskan sekali lagi penurunan harga minyak adalah tidak mustahil, malah kita yakin kita mampu untuk memacu kembali ekonomi negara yang berada dalam keadaan yang laih dan lembap tatkala pentadbiran sekarang seperti tidak mampu untuk menangani kelembapan ekonomi dan ketidakyakinan pelabur, akibat dasar yang lebih mementingkan projek-projek mega ketimbang ekonomi yang manusiawi sifatnya.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment