Pages

Belanjawan 2009 Ibarat Gula-Gula Getah (malay language)

Belanjawan yang dibentangkan 29 Ogos lepas nyata belanjawan ‘menawan semula hati rakyat’ pasca 8 Mac dan 26 Ogos 2008. Justeru mudah saya simpulkan, ia belanjawan yang ‘dijangka tetapi mengecewakan’.

Malaysia mencatat rekod sebagai satu-satunya negara pengeluar minyak yang berterusan mencatatkan belanjawan defisit selama 10 tahun berterusan.

Ia memberi gambaran ekonomi negara berada di tahap yang tidak stabil. Apatah lagi kali ini ia terus mencatatkan belanjawan tertinggi yakni RM209.7 billion.

Apa yang menjadi kebimbangan adakah kerajaan benar-benar berupaya mengawal perbelanjaannya. Tahun lepas kerajaan juga mencatatkan belanjawan yang besar iaitu RM 176.9 billion, akan tetapi berdasarkan jumlah terkini, belanjawan yang lepas sudahpun melebihi sebanyak RM 20.3 billion, menjadikan jumlahnya yang sebenar RM197.2 billion.

Selain itu kita melihat perbelanjaan pengurusan meningkat sekitar 20%, peningkatan dari RM 128.8 billion kepada RM154.2 billion.

Ini bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk megurangkan defisit fiskal.

Sangat mengecewakan tidak ada sebarang usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang digariskan di dalam belanjawan kali ini.

Sebaliknya hanya imbuhan buat rakyat terbanyak ibarat ‘gula-gula getah’, manisnya sekadar bersifat sementara. Tidak ada penyelesaian komprehensif untuk mewujudkan mekanisme kawalan jangka panjang ke atas masalah-masalah pokok seperti pembasmian rasuah serta penyelewengan wang rakyat atas nama ‘pembangunan’.

Pencegahan jenayah yang kian membungkam seolah-olah tidak menjadi fokus kerajaan umno-bn berbanding meraih populariti yang kian hilang.

RM35 bilion yang diperuntukkan untuk peningkatan kecekapan pengangkutan awam sebermula tahun 2009 hingga 2014 juga mendatangkan persoalan. Andai peruntukan sebanyak RM4.4 billion di bawah Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam yang diumum hasil kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen pada April 2006 masih tidak menampakkan apa-apa impak positif, ke mana pula bakal ‘perginya’ RM35billion itu?

MRR2 terus retak, komuter dan LRT terus semak, jalanraya terus sesak, Kontrak-kontrak bertambah banyak, kroni terus membiak, masalah tidak luak, rakyat semakin jelak!

Apa lagi yang boleh kita harapkan hasil gula-gula sementara ini?

ANWAR IBRAHIM
31/08/08

No comments:

Post a Comment