Pages

Mengata Orang, Mereka Yang Lebih!


Pakatan Rakyat sentiasa konsisten menekankan perlunya perubahan di negara ini di mana kepentingan rakyat menjadi pertimbangan utama. Oleh kerana itu, kita percaya perubahan sentiasa didasari dengan makna, bukan sekadar laungan retorik kosong semata-mata. Bila mana perubahan hanyalah sekadar laungan; hanya untuk mengaburi rakyat, hanya untuk memastikan hayat politik serta kepentingan peribadi terjaga, maka ketika itulah kepentingan nusa dan bangsa tergadai.

Jelas, keangkuhan penguasa semakin terserlah. Hasrat rakyat yang mahukan perubahan diremehkan begitu sahaja. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disalahguna untuk menakut-nakutkan musuh politik serta membungkam suara-suara yang tidak sehaluan.

Hari ini, kita menyaksikan saudara Raja Petra Kamaruddin terpaksa ditahan untuk tempoh dua tahun di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping. Lucu sekali, tatkala kepentingan politik Umno-BN tergugat, undang-undang warisan penjajah digunakan tanpa segan silu. Malah penggunaan ISA — yang direka khas oleh penjajah — dipuja dan dijustifikasikan dengan pelbagai alasan. Sekonyong-konyong saya pula yang dituduh sebagai agen asing. Sikap pimpinan Umno ini ibarat pepatah Melayu lama: mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih!

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment