Pages

Polis halang perhimpunan tuntutan hari raya GMI

KUALA LUMPUR: Pihak polis menghalang satu perhimpunan aman tengah hari tadi, yang menuntut agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, sambil menggesa agar semua tahanan ISA dibebaskan menjelang hari raya. Iklan

Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) diadakan berdekatan stesen LRT Masjid Jamek, dekat sini.

Mereka turut mengedarkan risalah kepada orang ramai yang melalui kawasan tersebut bertujuan untuk menyedarkan orang awam tentang akta zalim dan ketinggalan zaman ini.

Belum sempat aktivis GMI yang diketuai oleh Syed Ibrahim Syed Noh berkumpul, ASP Sydney Clyde Jeremiah yang mengetuai pasukan polis telah memberi amaran kepada koordinator GMI, E Nalini agar tidak menggunakan pembesar suara dan plakad.

Bagaimanapun, aktivis GMI tetap berhimpun dan merentangkan banner di seberang jalan Masjid Jamek. Ia hanya mampu bertahan selama kurang dari lima minit sebelum polis merampas banner dan plakad.

Selepas banner dan plakad dirampas, Presiden GMI, Syed Ibrahim telah membacakan kenyataan media yang mengutuk kerajaan menggunakan ISA untuk menahan individu tanpa bicara.

Syed Ibrahim berkata, tuntutan Hari Raya GMI adalah untuk membebaskan kesemua 66 tahanan ISA dengan segera.

"Selama enam atau tujuh tahun, keluarga mereka menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kehadiran suami, bapa atau anak," kata beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa ahli keluarga tahanan ISA ini telah kehilangan tempat bergantung dalam keadaan kos hidup yang semakin melangit.

"Mereka ini juga terpaksa membayar tiket bas dengan harga yang mahal untuk ke Kamunting yang memakan masa lebih dari tiga jam tetapi mereka cuma dibenarkan bertemu disebalik cermin dalam tempoh 45 minit sahaja," kata Syed Ibrahim.

Syed Ibrahim membaca kenyataan media itu selama lima minit dan menyudahkannya setelah polis mengeluarkan amaran terakhir. Tiada sebarang tangkapan dilakukan biarpun terdapat beberapa seorang anggota polis wanita berkelakuan lelaki cuba melakukan provokasi terhadap aktivis GMI.

Demonstrasi kecil ini berjaya menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan tersebut untuk mendapatkan maklumat dan memberikan sokongan.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh yang turut hadir menyatakan sokongan terhadap demonstasi aman GMI itu melahirkan rasa sedih beliau terhadap nasib malang yang menimpa keluarga tahanan ISA.

Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana demonstrasi aman GMI itu telah dihalang oleh polis.

"Bila kita tanya kenapa kita disekat, dia kata itu kena tanya Perdana Menteri tapi masalahnya dah banyak kali jumpa PM tapi tidak ada hasil pun," kata beliau.

Ustazah Nuridah berkata demonstasi adalah merupakan satu cara untuk menyampaikan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Seterusnya beliau mencabar ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang beragama Islam agar keluar dari parti tersebut jika benar-benar mereka seorang Muslim sejati kerana BN telah menggunakan akta zalim dalam pemerintahannya.

"Saya cabar mereka ini menyertai Pakatan Rakyat kerana hanya Pakatan Rakyat yang berjuang untuk membebaskan tahanan ISA seterusnya menghapuskan terus akta lapuk ini," kata beliau.

Beliau turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus berdoa agar akta ISA yang zalim ini akan segera dihapuskan.

Harakah
26/09/08

No comments:

Post a Comment