Pages

Motif Mahathir untuk bantu Mukhriz menang

SEHINGGA hari ini, sudah lima tahun Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan kerusi Perdana Menteri, tetapi kata-katanya terhadap Umno, masih lagi berbisa, malahan merisaukan para penyandang jawatan, dari yang paling tinggi hinggalah yang terendah.

Terbaru, beliau bercakap mengenai ada calon Timbalan Presiden Umno, yang mulanya terlalu sedikit mendapat pencalonan tetapi minggu-minggu terakhir meningkat dengan kelajuan yang mengejutkan, hingga mencukupi kuota untuk layak bertanding, dikaitkan dengan politik wang.

Dakwaan Dr Mahathir itu, tentunya menyinggung perasaan dua calon lain, selain Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tetapi ada juga yang berpendapat, Dr Mahathir sebenarnya 'melontar sebutir batu untuk membunuh dua ekor burung.'

Sebenarnya, Dr Mahathir didakwa tidak begitu fokus terhadap pertandingan antara Muhyiddin dengan Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib kerana beliau sudah berkira-kira, Muhyiddin bakal menjadi pilihan perwakilan kerana sejak awal, Dr Mahathir begitu gembira dengan keberanian Muhyiddin bercakap isu dipercepatkan Pelan Peralihan Kuasa antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Namun, hati kecilnya ingin melihat Muhyiddin menang tanpa bertanding seperti Najib yang mendapat pencalonan bulat dari bahagian-bahagian kecuali Gua Musang yang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Jika bukan Timbalan Presiden yang menjadi fokus Dr Mahathir, jawatan apakah yang ditumpukan?

Ada pihak mendakwa, Dr Mahathir terlalu kecewa apabila Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin mencukupi kuota pencalonan untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sedangkan dua minggu terdahulu, anaknya, Dato' Mukhriz sahaja yang layak bertanding jawatan itu, sedangkan Dr Mohamad Khir dan Khairy Jamaluddin masih jauh ketinggalan.

Dari mata kasar Dr Mahathir, lonjakan mendadak di minggu-minggu terakhir mesyuarat bahagian-bahagian seolah-olah 'digelumangi dengan wang' hingga menyebabkan peningkatan pencalonan mereka yang belum mencukupi kuota, kelihatan mendadak. Ia tentunya menimbulkan kecurigaan.

Mungkin Dr Mahathir membayangkan, bahagian-bahagian yang masih belum bermesyuarat, akan terpengaruh dengan calon yang sudah mendahului dan boleh disifatkan sebagai pilihan mutlak, sebagaimana Najib mendapat pencalonan.

Malangnya, bayangan Dr Mahathir itu, tidak berlaku kerana ketika Khairy Jamaluddin yang sudah hilang tempat berpaut, apabila Abdullah mengumumkan hasratnya tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno, masih diterima 52 Pemuda bahagian (yang mencalonkannya).

Khairy Jamaluddin dilihat bukan sahaja terpaksa melawan dengan Mukhriz dan Dr Mohamad Khir tetapi turut berdepan dengan serangan demi serangan dari Dr Mahathir. Namun, Khairy tetap mengambil sikap berdiam diri kerana baginya, lebih baik menjadi mangsa serangan Tun (Dr Mahathir) daripada menjawabnya hingga nanti dianggap sebagai biadap kerana tidak menghormati seorang negarawan tersohor.

Sebaik sahaja Dr Mahathir menyebut mengenai politik wang, beberapa pihak memintanya memberikan bukti dakwaan yang dibuatnya itu supaya Lembaga Disiplin Umno dapat menjalankan siasatan.

Namun Dr Mahathir memilih untuk mendedahkan sahaja nama calon-calon yang dikatakan terlibat politik wang tetapi sekadar menyebut tanpa disertakan dengan bukti.

Gertakan Dr Mahathir itu menyebabkan salah seorang dari lapan calon Naib Presiden, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin merayu supaya bekas Perdana Menteri tidak meneruskan niatnya itu kerana ia akan memberi kesan tidak elok dan bakal berlaku penganiyaan terhadap calon-calon tertentu.

Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin berani untuk disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana beliau yakin beliau tidak terlibat dengan permainan politik kotor itu, bagi mendapatkan pencalonan.

Abdullah dilihat lebih condong kepada Mohd Ali dalam pesaingan Timbalan Presiden manakala Dr Mahathir dilihat ke arah Muhyiddin.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Abdullah tentunya condong kepada Khairy yang juga menantunya manakala Dr Mahathir tentulah mahukan anaknya, Mukhriz memenangi pesaingan itu.

Yang bersendirian bagi jawatan Timbalan Presiden, Muhammad manakala, bagi jawatan Ketua Pemuda, Dr Mohamad Khir banyak bergantung kepada kerja sendiri yang dia buat. Setakat ini, Dr Mohamad Khir mendapat 62 pencalonan, berbanding Mukhriz 74 dan Khairy, 52.

Masa lima bulan untuk berkempen ini, sudah digunakan Mukhriz dan Dr Mohamad Khir yang menolak jawatan kabinet jika menang pemilihan nanti, manakala, Khairy mencabar kesemua calon-calon Ketua Pemuda berdebat untuk menyatakan misi dan visi masing-masing membawa Pergerakan Pemuda Umno menempuh gelora politik yang semakin teruk.

Apakah anggota-anggota Lembaga Disiplin Umno akan tertekan dengan kenyataan Dr Mahathir itu, hingga menyebabkan mereka menggerakkan jentera untuk memulakan siasatan dan seterusnya mendakwa kesemua pesalah laku politik wang dalam pertandingan kali ini.

Apakah ada keberanian di pihak Lembaga Disiplin untuk menyiasat dakwaan jika aduan turut melibatkan calon-calon yang Dr Mahathir mahu mereka menang?

Jika tidak, kredibiliti Lembaga Disiplin akan disangsikan. Maklumlah, Dr Mahathir tentunya mahu mereka yang disokongnya, itu menang tanpa bertanding.

Sama ada berjaya atau tidak strategi Dr Mahathir kali ini, dengan memberi bayangan kepada Lembaga Disiplin supaya menyiasat calon-calon yang mendapat pencalonan melonjak di minggu-minggu terakhir, akan terjawab sebaik sahaja Lembaga Disiplin membuka fail siasatan.

Jika tidak, sebutir batu yang mahu membunuh dua ekor burung itu tidak akan berjaya kerana Lembaga Disiplin mustahil mahu bertindak atas bayangan Dr Mahathir kerana mereka memerlukan setiap dakwaan disertakan dengan bukti kukuh.

Setakat ini, Lembaga Disiplin sudah mengesahkan terdapat 30 peratus aduan adalah palsu dan dibuat kerana tujuan tertentu.

Safar Jumaat
Harakah Daily
27/11/08

No comments:

Post a Comment