Pages

AMK minta Ezam dedahkan 6 kotak rahsia di KT

Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Terengganu mengalu-alukan kehadiran Ezam Mohd Nor yang dijemput oleh calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh untuk membantu kempennya bulan depan.

"AMK Terengganu meminta Ezam datang bersama enam kotak yang pernah didakwa oleh beliau berkaitan rasuah dan penyelewengan pimpinan Umno dan BN," kata Ketua AMK Terengganu, Fariz Muda.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia pernah diberitahu oleh Ezam - sewaktu menjadi ketua AMK dahulu - bahawa beliau mempunyai enam kotak bukti rasuah dan penyelewangan Umno/BN.

"Sekiranya beliau masih terus konsisten dan serius dalam menentang rasuah, sudah pasti ini medan yang terbaik untuk mendedahkannya.

"Rahsia enam kotak tersebut masih terus menjadi rahsia yang masih ditutup oleh Ezam," katanya Faris dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang telah diluluskan oleh Parlimen, seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendedahkan perbuatan rasuah tersebut.

"Integriti dan kredibiliti Ezam akan kembali pulih selepas menyertai Umno semula, dengan mendedahkan enam kotak dokumen rasuah dan penyelewengan Umno/BN.

"Ini kerana antara alasan beliau menyertai Umno semula adalah kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menentang rasuah .

"Para pengundi di Kuala Terengganu sedang menanti kehadiran Ezam bersama enam kotak yang diwar-warkan itu," tambah Fariz.

malaysiakini
30/12/08

No comments:

Post a Comment