Pages

Mahfuz bimbang SPRM jadi pelindung rasuah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar bimbang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berulang menjadi pelindung rasuah dan akhirnya digelar Suruhanjaya Pelindung Rasuah Malaysia.

"Tidak ada pembaharuan untuk membasmi rasuah. Tidak ubah hanya tukar baju sahaja kepada badan yang sama," katanya.

SPRM hakikatnya sama seperti Suruhanjaja Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang hanya boleh memberikan nasihat kepada Perdana Menteri yang tidak ada keazaman politik untuk memerangi rasuah dan akhirnya tidak dipedulikan oleh kerajaan.

"SPRM hakikatnya satu solekan sahaja untuk mengaburi mata umum seolah-olah kerajaan Barisan Nasional (BN) serius memerangi rasuah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Selain dari perlantikan anggotanya yang dibuat atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, ia hanya boleh menasihati Perdana Menteri dan mengemukakan laporan tahunan kepada Perdana Menteri.

"Kalau setakat mengemukakan laporan tahunan yang rata-rata tidak sempat dibangkitkan dalam Parlimen, ia bertaraf lebih rendah dari persatuan penduduk di sesebuah kampung.

"Sekurang-kurangnya persatuan penduduk kampung boleh juga melakukan tangkapan awam (public arrest) kalau ada pencuri atau penyangak masuk kampung mereka," katanya.

SPRM, katanya lagi, tidak ubah seperti projek gajah putih kerana kuasa pendakwaan masih berada di tangan Peguam Negara yang tidak boleh dipersoalkan di Parlimen.

"Kerajaan akan terus berlindung dengan kedudukan Peguam Negara yang biasanya dilihat sebagai penyelamat kuasa politik BN," katanya lagi.

Lebih dari itu, sukar untuk mempercayai Perdana Menteri akan bertindak menurut nasihat SPRM jika orang yang menjadi Perdana Menteri itu adalah Presiden Umno.

"Rasuah dalam Umno tidak perlu dibangkitkan lagi kerana telah banyak didedahkan oleh tokoh-tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Siapa pun yang menjadi Presiden Umno tidak boleh dipercayai sama sekali kerana parti itu sarat dengan tuduhan rasuah termasuk keengganan mengambil tindakan terhadap dakwaan rasuah yang begitu terbuka dan berleluasa dalam pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu 2006 lalu," katanya.

Malah, katanya lagi, bekas exco Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun pernah membuat dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita bimbang SPRM akan mengulangi sejarah suruhanjaya diraja berhubung ke Datuk V K Lingam yang akhirnya tidak dipanggil royal commission tetapi royal circus," katanya lagi.

Abdul Aziz Mustafa
Harakah Daily
15/12/08

No comments:

Post a Comment