Pages

Geran kampung baru, Jus Soli dan kemahiran berbohong Umno

SENTIMEN kaum dan agama nampaknya terus dimainkan Umno bagi kembali meraih sokongan masyarakat Melayu negara ini.

Lebih memualkan lagi apabila tiupan semangat tebal perkauman dan agama itu disulami dengan pendustaan dan pembohongan tanpa henti; seolah-olah soal moral, etika dan akhlak tidak ada dalam kamus para pemimpin Umno.

Lihat sahajalah isu penganugerahan geran hak milik kekal kepada para penduduk kampung baru di Perak yang dijadikan modal politik Umno negeri.

Dan bagi lebih menarik simpati, titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di ibu kota, 16 Januari lalu cuba diputarbelitkan Umno untuk menggambarkan kononnya pihak istana Perak juga tidak memperkenankan tindakan itu.

Isu ini berbangkit apabila kerajaan negeri mengambil langkah mengurniakan geran hak milik kekal kepada kampung baru dan kampung tersusun.

Program membabitkan 149,000 lot tanah itu cuba dipolitikkan Umno negeri kerana kononnya ia memberi kelebihan kepada penduduk Cina yang duduk di kampung baru. Penganugerahan hak milik kekal ini juga disifatkan sebagai "menggadaikan maruah bangsa dan agama" oleh seorang Menteri Umno. Malah Menteri Besar Perak dianggap menuruti telunjuk DAP kerana sanggup menganugerahkan geran hak milik selama 999 tahun kepada penduduk Cina kampung baru dan hanya 99 tahun kepada penduduk Melayu di kampung tersusun.

Malah Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) yang ditunggangi Umno, Datuk Seri Hilmi Ismail mendesak Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana gagal menjadi 'dahan' kekuatan orang Melayu dan sanggup 'menggadai' maruah yang ada demi kepentingan politik semata-mata.

Begitulah bersemangatnya pemimpin Umno dalam "membela orang Melayu" sehingga menganggap pemberian lot tanah kediaman kepada kaum Tionghua yang telah menetap puluhan tahun di kampung baru sebagai "menggadai hak Melayu".

Apa yang gagal diceritakan pemimpin Umno negeri kepada umum adalah selain 134 kampung baru (yang sebenarnya turut diduduki oleh kaum Melayu dan India), kerajaan negeri turut memberikan hak milik kekal kepada 349 kampung tersusun yang kesemuanya diduduki oleh orang Melayu!

Adakah keputusan memberikan hak milik kekal kepada kampung tersusun ini juga boleh dianggap sebagai "mengkhianati hak Melayu"?

Nizar ketika menjelaskan isu ini berkata, penganugerahan hak milik tanah kepada 47,000 penduduk kampung baru hanya membabitkan 3,000 ekar (1,200 hektar) tanah sedangkan ketika Perak di bawah penguasaan BN, lebih banyak tanah negeri itu telah tergadai kepada orang bukan Melayu.

Antaranya penganugerahan lebih 10,000 ekar tanah kepada MCA untuk membina kampus Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Dakwaan kononnya kerajaan negeri memberikan hak milik tanah selama 999 tahun kepada kampung baru turut dinafikan Menteri Besar, tetapi terus dicanangkan 'sebagai betul' oleh pemimpin Umno negeri.

Cubaan memutarbelitkan titah ucapan Dr Raja Nazrin berhubung teguran raja-raja Melayu terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu juga sebenarnya 'menampar muka' Umno.

Teguran Raja-raja Melayu yang dizahirkan dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950 itu sebenarnya merujuk kepada Rancangan Briggs yang dilancarkan Sir Henry Gurney ketika era darurat di Malaya (1948-1960).

Ketika ghairah menimbulkan satu episod dalam sejarah negara, pemimpin Umno tidak langsung mahu membicarakan episod yang lebih penting daripada Rancangan Briggs iaitu sokongan Umno terhadap prinsip kerakyatan Jus Soli yang diperkenalkan British.

Jika rancangan Briggs sekadar memindahkan masyarakat Cina yang duduk di pinggir-pinggir hutan ke satu perkampungan tersusun yang dikenali sebagai kampung baru (untuk mengelak mereka dipengaruhi anasir komunis); Umno melalui sokongannya terhadap Jus Soli bersetuju memberi hak kerakyatan kepada pendatang India dan Cina ke Tanah Melayu.

Dan adakah bantahan Umno terhadap pemberian hak milik kepada penduduk kampung baru membawa erti bahawa Umno bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada penduduk Cina dan India tetapi tidak bersedia untuk mereka diberikan tapak rumah kediaman?

Dan jika penduduk kampung baru tidak layak diberikan geran hak milik untuk tapak kediaman semata-mata kerana mereka berbangsa Cina, mengapakah kerajaan BN pimpinan Umno sanggup memberi peluang kepada rakyat Singapura yang majoritinya berbangsa Cina membeli hartanah di negara ini termasuk di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang terletak di selatan Johor - negeri paling kuat pengaruh Umno dalam dunia?

Umno juga perlu menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung hak milik tanah termasuk penganugerahan puluhan ribu hektar tanah kepada taikun-taikun Cina oleh kerajaan BN pimpinan Umno antaranya Vincent Tan dan Lim Goh Tong.

Umno juga tidak harus melupakan nasib malang yang menimpa orang Melayu di Kerpan, Kedah; Pantai Kundor dan Pantai Tanah Merah, Melaka dan beberapa negeri lain yang dihalau keluar daripada tanah tumpah darah mereka semata-mata untuk memberi laluan kepada projek-projek mega kerajaan BN.

Jenayah Umno terhadap Melayu sebenarnya terlalu banyak untuk diungkit. Ia tidak melayakkan parti itu untuk mendabik dada sebagai "pembela maruah Melayu".

Apa yang boleh 'dibangga' dengan Umno cumalah kemahiran untuk berbohong dan memainkan sentimen bangsa dan agama bagi satu tujuan - mengekalkan
kuasa!

Harakah
19/01/09

No comments:

Post a Comment