PADA hari Jumaat, 16 Januari, akhbar arus perdana Berita Harian menyiarkan tajuk berita berbunyi "Harapan BN Cerah" dan meramalkan parti kerajaan pusat itu akan mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Akhbar kembarnya, New Straits Times pula berkata: "Barisan Upbeat, PAS Edgy" (Barisan Yakin, PAS Gementar).
BH menokok tambah dengan menyiarkan temu ramah dengan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak di mana Timbalan Presiden Umno itu menyangkal persamaan antara Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.
Utusan Malaysia memilih tajuk berita yang lebih neutral berbunyi "Jangan Terpengaruh Serangan Peribadi" dan semalam (17 Januari) menyiarkan tajuk ringkas "Siapa Pilihan Pengundi?"
Ternyata sekali BH dan NST membuat ramalan yang songsang sama ada kerana maklumat dan perisikannya tidak tetap atau kerana mahu menjaga hati pihak-pihak tertentu.
Seperti umum sudah maklum BN gagal mempertahankan Kuala Terengganu malah telah kalah dengan teruk.
Calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS, Abdul Wahid Endut dengan 2,631 undi. Dia memperoleh 30,252 undi berbanding Abdul Wahid yang memperoleh 32,883 undi.
Pengundi Kuala Terengganu nampaknya tidak termakan janji melangit yang dibuat oleh Umno dan BN malahan ahli dan penyokong Umno sendiri nampaknya masih marah dan menyimpan dendam terhadap kepemimpinan parti mereka.
Kekalahan ini pastinyalah memberi kesan yang besar kepada BN dan Umno, khasnya kepada Mohd Najib yang menjadi kepala perang Umno dan BN walaupun beliau berkata kekalahan itu tidak bermakna pengundi menolak BN dan memberi undi tidak percaya kepadanya.
Kekalahan ini sedikit sebanyak membayangkan yang pengundi Kuala Terengganu belum bersedia untuk memberi "endorsement" kepada beliau atau kepada proses pemulihan Umno dan BN yang diuar-uarkan itu.
Bagi Umno dan BN, kegagalan mempertahankan Kuala Terengganu memberi gambaran bahawa penolakan terhadapnya semakin meluas sejak pilihan raya umum Mac lalu.
Ini tentunya akan menyukarkan lagi kedudukan Mohd Najib apabila beliau mengambil alih pemerintahan negara Mac ini.
Tetapi seandainya beliau faham sentimen pengundi dan bersedia membuat perubahan yang drastik ke atas Umno, BN dan kerajaan selepas mengambil alih pemerintahan beliau mungkin dapat meredakan kemarahan pengundi khasnya dan rakyat jelata amnya.
Kekalahan di Kuala Terengganu adalah sumpahan dan bala yang sangat besar kepada Umno dan BN kerana ia adalah kerusi BN dan terletak di dalam negeri yang memberi sokongan yang sangat kuat kepada BN pada pilihan raya umum Mac lalu.
Gagal menakluki semula Permatang Pauh Ogos lalu tidak teruk kerana ia kubu Anwar Ibrahim dan terletak di dalam negeri yang menolak BN pada pilihan raya umum lalu.
Sekiranya Umno dan BN gagal memahami sebab musabab kekalahannya di Kuala Terengganu dan mengambil tindakan mengatasi kesilapannya, tragedi yang sama akan menimpanya pada pilihan raya kecil yang lain dan, yang lebih mendesak, pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak lama lagi.
Jelas daripada keputusan Kuala Terengganu bahawa pemilihan calon dan penanganan isu tempatan adalah kunci kejayaan dalam pilihan raya kecil.
Nyata andaian umum mengenai ketidaksuaian calon BN tetap apabila dia bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu sebaliknya kalah dengan teruk.
Janji pembangunan, penaburan wang dan kempen yang keterlaluan menyebabkan ramai pemilih berasa jijik. Begitu juga dengan peranan media massa arus perdana yang tidak berpijak kepada realiti apabila membuat laporan dan analisis menyokong Umno dan BN.
Boleh jadi juga pengundi masih belum puas hati dengan perubahan yang berlaku di Umno dan BN maka mereka terus menghukum Umno dan BN walaupun Abdullah sudah berjanji akan mengundurkan diri dan menyerahkan jawatan kepada Mohd Najib Mac ini.
Mungkin juga kaedah kempen "carpet bombing" oleh Umno dan BN, dan pergantungannya kepada jentera kerajaan, media massa arus perdana dan orang luar tidak lagi berkesan malah memualkan pemilih.
Kemenangan calon PAS membuktikan yang parti itu serta rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyatnya semakin kuat dan diyakini walaupun wujud perbezaan yang besar antara PAS dan DAP.
Apa pun, semua pihak wajib menerima pilihan yang dibuat oleh pengundi Kuala Terengganu itu.
kadirjasin
18/01/09
PAS dapat beberapa peluru last minutes:
ReplyDelete1. Pegawai SPR letak jawatan.
2. Kes Altantunya dikaitkan semula dengan Najib di mahkamah.
3. Bukti Najib tidak pegang janji pilihanraya kecil.
Tahniah kepada petugas Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus menewaskan jentera ala tentera Barisan Nasional.
PAS dah menang. DSAI perlukan 28 lagi kerusi parlimen, kan?
Tolong lah sesiapa sponsor badminton racket kepada semua ahli parlimen BN