Pages

Lintas Langsung dari P036 K. Terengganu


KUALA TERENGGANU: Hampir 80,000 warga Kuala Terengganu mula melangkah ke pusat-pusat mengundi untuk memilih ahli Parlimen yang baru pagi ini.

Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dan akan ditutup pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil ini yang dilihat sengit dan disifatkan sebagai sangat penting untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Persaingan itu membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari BN, Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

Daripada 80,229 pemilih yang layak mengundi kali ini, seramai 1,035 merupakan pengundi pos di mana kira-kira 96 peratus telah pun mengundi.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di bahagian ini adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

Calon BN, Wan Ahmad Farid akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar manakala calon PAS, Mohd. Abdul Wahid mengundi di Sekolah Kebangsaan Cabang Tiga.

Wan Ahmad Farid ketika dihubungi pada pukul 7.45 pagi ini selepas menziarahi pusara ibubapanya dengan diiringi isterinya, Datin Intan Baizura Abdul Wahab di Masjid Raja Bukit Besar berkata beliau yakin penyokong-penyokongnya akan keluar mengundi seramai yang mungkin.

“Yang penting mereka mengundi untuk BN,” katanya.

Beliau kemudian menuju ke pusat pengundian yang terletak beberapa meter dari masjid tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid ketika dihubungi mStar Online berkata, sokongan untuk PAS dan Pakatan Rakyat memberangsangkan namun bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pengundi-pengundi untuk membuat keputusan.

“Saya gembira dengan sokongan yang mereka berikan kepada saya, dan saya harap ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi,” katanya.

Bagaimanapun Azharudin tidak mebgundi di Bahagian Kuala Terengganu kali ini.

Beliau mendaftar sebagai pengundi luar Kuala Terenggani.

Wan Ahmad Farid memasukkan kertas undi tepat pada pukul 8.07 minit pagi.

“Saya gembira,” kata beliau ketika ditanya perasaannya sejurus selepas keluar dari Saluran Tiga, tempat beliau mengundi.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid merupakan pengundi pertama mengundi di Saluran Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan Cabang Tiga

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam diiringi oleh isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.

No comments:

Post a Comment