Pages

BN-Umno dicabar, depani PAS dalam pilihan raya terbuka

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Umno-BN agar berdepan dengan segala masalah apatah lagi kini mereka berada di ambang kejatuhan.

"Sepatutnya berdirilah seperti seorang lelaki untuk berdepan dengan PAS melalui pilihan raya terbuka, PAS tidak ada masalah kerana kita bersedia untuk berdepan dengan Umno," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menteri Besar Kelantan itu turut menyelar tindakan Umno yang terus membabitkan pihak istana Perak bagi menjayakan agenda rampas kuasa mereka.

"Saya melihat Umno-BN memang tidak gentleman kerana terus melibatkan istana dan berselindung di sebalik kuasa kekebalan istana," tegasnya.

Beliau enggan mengulas mengenai kenyataan Sultan Selangor yang murka kepada mereka yang terlibat dengan demonstrasi jalanan.

"Saya tidak mahu komen tentang kenyataan SUltan Selangor yang mengatakan biadap terhadap pihak yang mengadakan demonstrasi jalanan dan membantah titah Sultan Perak," ujarnya.

Namun beliau yang telah menerajui kerajaan PAS Kelantan 18 tahun, menegur tindakan Umno-BN dalam isu yang bergolak di Perak dengan memberikan analogi yakni perumpamaan.

"Saya ingin menegur Umno, seperti dalam sebuah rumahtangga, ada ibu bapa sebagai ketua keluarga begitu juga dengan sebuah negara yang mempunyai raja sebagai pemimpin atau ketua negara.

"Jika ada sebarang salah faham dalam rumah tangga, sepatutnya penyelesaian dibuat oleh ahli-ahli keluarga dalam rumahtangga itu.

"Begitu juga halnya dengan sebuah komuniti yang terdiri daripada parti-parti politik yang menghadapi masalah, maka penyelesaian hendaklah dibuat dengan rakan-rakan dalam lingkungan politik itu," jelasnya panjang lebar.

Apa yang penting ujarnya, pemimpin politik itu harus menyelesaikan masalah sesama sendiri.

"Tetapi apa yang berlaku di Perak, Umno terus melibatkan sultan, sedangkan sepatutnya jika Umno tidak gopoh mereka boleh memikirkan kemungkinan untuk membubarkan Dun atau mengadakan pilihan raya ke atas dua atau kerusi yang bermasalah," demikian ujarnya.

Harakah
15/02/09

No comments:

Post a Comment