Pages

PAS abai larangan sebut Altantuya, raja

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi menegaskan parti itu tidak akan akur dengan arahan polis yang melarang mana-mana pihak, termasuk calon mengeluarkan sebarang kenyataan atau kata-kata yang bersifat menghasut semasa berkempen dalam pilihanraya kecil.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan larangan mengejut kepada parti-parti bertanding di tiga kawasan pilihanraya kecil agar tidak membangkitkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan keputusan kontroversi raja.

“Kita menghormati kebebasan bersuara. Kita akan bercakap apa sahaja isu yang mengenai kepentingan rakyat dan negara selagi perkara yang disentuh itu dibuat dalam batas undang-undang dan berdasarkan fakta,” kata Asmuni dalam sidang akhbar hariannya di Markas Induk Operasi PAS di Air Kuning di Taiping hari ini, lapor Bernama

Beliau berkata arahan itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana kebebasan bersuara merupakan satu hak asasi yang dijamin dengan sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kita boleh bincang apa sahaja sebenarnya. Tiada had untuk kita membincangkan sesuatu topik dalam negara ini selagi kita mematuhi undang-undang dengan tidak melanggar batas-batas hasutan. Saya rasa rakyat Malaysia adalah bijak dalam membincangkan perkara seperti ini,” kata beliau yang juga seorang peguam.

Beliau berkata PAS juga telah memberi arahan kepada penceramah parti itu supaya tidak risau untuk terus membicarakan isu-isu tertentu yang kini dilarang polis kerana berpendapat arahan polis itu sebenarnya suatu perkara yang boleh dicabar dari sudut undang-undang.

Sementara itu Asmuni, yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS Bukit Gantang, menolak syor oleh pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi
Mara Prof Dr Shad Saleem Faruqi supaya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan DAP-PKR-PAS duduk semeja dan berunding bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Shad ketika menyuarakan pandangannya dalam Rancangan Hujah yang disiarkan di TV9 malam tadi berkata usaha menyelesaikan kemelut itu menerusi mahkamah boleh menjadi salah satu jalan penyelesaian yang sesuai, namun ia dijangka mengambil masa yang panjang kerana ia pasti disusuli dengan rayuan demi rayuan terhadap setiap ketetapan yang dibuat mahkamah.

Asmuni berkata PAS tidak boleh menerima keputusan seperti itu kerana ia jelas bertentangan dengan kehendak dan tuntutan rakyat Perak.

“Mood rakyat berkehendakkan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan serahkan mandat kepada mereka dan mereka akan buat pilihan sendiri. Jadi kita kena hormati hak rakyat,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian terbaik bagi segala kemelut politik di Perak adalah melalui pembubaran DUN dan mengadakan satu pilihanraya negeri semula kerana itu yang dikehendaki oleh rakyat di negeri ini.

Harakah
01/04/09

No comments:

Post a Comment