Pages

Perjuangan Hindraf Perjuangan Bangsa Malaysia

Tanggal 27 November 2007, Hindraf telah mula dikenali di Malaysia dan juga seluruh negara di dunia. Sejak kemerdekaan sehingga kini, wujud banyak NGO yang berperanan untuk membantu orang miskin tetapi yang menjadi kenyataan ialah yang miskin bertambah miskin dan tersisih dari pengaliran ekonomi negara. Perkara inilah yang telah dibawa ke muka dunia oleh perjuangan HINDRAF.

Semua mata memandang ke arah Hindraf, begitu juga dengan pihak atasan pentadbir Malaysia. Mereka begitu bimbang dengan percetusan semangat Hindraf yang inginkan keadilan untuk bangsa India yang bergelar `minority`. Mungkin pada masa itu (tahun 2007) UMNO dan BN agak tebal dengan keangkuhan telah mengakibatkan kaum India teraniaya teruk di semua aspek. Ini telah menyebabkan Hindraf bertindak untuk memberi keutamaan kepada kaumnya untuk perjuangan pada waktu itu. Secara logik, sesiapa saja akan bertindak untuk mempertahankan diri dan keluarganya dulu sebelum membantu sahabat-sahabat lain. Oleh itu, pada pandangan saya, Hindraf telah mengukir batu asas bagi satu perjuangan murni untuk Bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia merangkumi semua kaum di negara kita. Mungkin ramai di antara kita masih tidak sedar ataupun tidak berminat akan wujudnya golongan masyarakat tertindas di kalangan penduduk di Sabah, Sarawak dan juga masyarakat Cina serta Melayu. Kalau diselidik punca penindasan ini, jawapanya sudah tentu angkara kepentingan politik pemimpin tertentu. Jika dibiarkan mereka menindas terus golongan malang ini, lama-kelamaan penindasan ini akan tentu menyebabkan kewujudan politik kuku besi di negara kita.

Bagi saya, masyarakat Malaysia perlu bangun dan bersatu untuk memelihara politik berbentuk demokrasi. Masyarakat Malaysia perlu sedar akan betapa pentingnya mana-mana perjuangan yang berjuang untuk golongan tertindas. Jangan kita beranggapan, nasib kita baik dan dapat hidup senang lenang, oleh itu kita tidak perlu risau tentang golongan malang yang tertindas ini. Anggapan sebegitu rupa adalah asas bagi kemusnahan masa depan anak-anak kita. Ini adalah kerana, masa depan anak-anak kita tidak terjamin dengan kewujudan politik yang menindas kaum golongan tertentu untuk kepentingan mereka sendiri.

Oleh itu saya amat mengalu-alukan kehadiran Hindraf sebagai satu badan yang berani menegur dan menekan mana-mana parti pemerintah yang cuba menindas atau menganiaya mana-mana kaum yang bergelar Bangsa Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada Uthaya dan Hindraf. Teruskan usaha murni ini dan selamatkan Malaysia dari sistem politik yang mengabaikan penduduk miskin serta malang yang berpunca dari kezaliman politik.

Perjuangan murni Hindraf merupakan satu perubahan ketara bagi semua rakyat Malaysia yang selama ini asyik menyoal objektif perjuangannya untuk masyakarat tertindas yang selalunya diputar belit oleh kerajaan pemerintah demi menjaga kepentingan politik mereka sendiri. Oleh itu marilah kita bantu satu sama lain untuk menegakkan keadilan. Buang ketepi kelainan bangsa, kelainan agama dan anggaplah setiap perjuangan yang menuju keadilan adalah murni. Perjuangan Hindraf adalah perjuangan Bangsa Malaysia.

Hindraf
22/07/09

No comments:

Post a Comment