Pages

Kematian Teoh: Surat dakwa pegawai SPRM terlibat

KUALA LUMPUR: Surat misteri yang dihantar kepada peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo, menuduh seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dengan kematian pembantu Exco Selangor itu.

Surat itu yang ditulis di dalam Bahasa Melayu itu juga menamakan pegawai kanan itu sebagai orang yang terlibat secara peribadi menyoal Teoh di saat-saat terakhir sebelum beliau mati.

Sambil menuntut supaya pegawai kanan itu disiasat, pengirim surat itu yang mendakwa diri mereka sebagai "para pegawai SPRM" juga menuduh pegawai kanan itu terlibat dengan rasuah.

Menurut Malaysian Insider, surat itu juga menceritakan apa yang didakwanya berlaku ketika Teoh disoalsiasat.

Tetapi surat itu tidak menceritakan bagaimana Teoh mati di mana punca kematian beliau masih lagi dalam siasatan inkues yang ditubuhkan untuk menyiasat kematiannya.

Surat itu juga menuduh pegawai kanan itu terlibat dengan rasuah yang melibatkan siasatan-sasatan sebelum ini.

Perincian mengenai siasatan-siasatan tersebut juga disenaraikan.

Surat itu juga menuntut siasatan bebas dijalankan ke atas pegawai kanan itu berikutan dakwaan rasuah ke atasnya dan dakwaan penglibatannya dalam kematian Teoh.

Penemuan surat itu menimbulkan persoalan adakah berulang episod yang berlaku dalam siasatan suruhanjaya yang menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan polis dahulu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor akhirnya mengakui beliau telah mencederakan Anwar dan memohon maaf kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dan keluarganya.

Semalam, mahkamah koroner yang mengendalikan inkues keatas kematian Teoh mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap kandungan sepucuk surat misteri yang mengandungi butiran berkaitan kematian .

Koroner Azmil Muntapha Abas yang meneliti kandungan surat itu berkata ia jelas terdapat beberapa elemen yang berkait rapat dengan perjalanan prosiding inkues tersebut.

"Oleh itu, saya perlu mengarahkan pegawai penyiasat kes ini Ahmad Nazri Zainal untuk menyiasat kandungan surat ini yang berkaitan dengan skop prosiding inkues bagi menentukan punca kematian (Teoh)," Bernama memetik beliau berkata.

Surat tersebut diterima semalam oleh Gobind daripada seseorang sebaik prosiding inkues itu berakhir lewat petang.

"Semalam, saya telah menerima sepucuk surat bertarikh 5 Ogos yang mengandungi perkara-perkara berkaitan prosiding inkues, tetapi saya tidak boleh memberitahu kandungannya di sini (mahkamah)," kata Gobind sebaik prosiding bermula pada jam 3 petang.

"Dengan ini, saya ingin membuat permohonan kepada mahkamah supaya mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyiasat kandungan surat itu yang sangat penting dan relevan dalam prosiding inkues ini," katanya.

Surat yang mengandungi lima muka surat bertaip itu kemudian diserahkan kepada koroner Azmil Muntapha untuk diteliti.

Peguam Tan Hock Chuan, bagi pihak kerajaan, tidak membantah permohonon Gobind terhadap siasatan lanjut itu dan berkata: "Dakwaan dalam surat ini perlu disiasat oleh polis kerana kita semua berada di sini untuk mendapatkan kebenaran dalam perkara ini.

"Ada beberapa nama disebut dalam surat itu. Pihak polis perlu diberikan peluang untuk mengesahkan kebenaran dakwaan dalam surat ni atau pun sebaliknya," kata Tan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Harakah
20/08/09

No comments:

Post a Comment